SHAHROL Yuzy (kanan) rasa tercabar untuk bertanding kerana ingin melihat pembangunan akar umbi. FOTO Ihsan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia
SHAHROL Yuzy (kanan) rasa tercabar untuk bertanding kerana ingin melihat pembangunan akar umbi. FOTO Ihsan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Legenda permotoran sukan dua roda negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini tetap berasa puas meskipun tewas bertanding jawatan presiden pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), semalam.

Tegas Shahrol Yuzy, ia sekurang-kurangnya membuka mata kepada kepimpinan yang dipilih diketuai oleh presidennya, Tan Sri Mokhzani Mahathir bahawa ada kumpulan yang mempunyai pendapat berbeza dalam industri sukan permotoran di mana ia perlu diteliti oleh kepimpinan MAM.

"MAM harus dekat dengan persatuan dan juga ahli-ahlinya, itu yang sangat penting. Bagi saya, industri (sukan permotoran) ini adalah industri negara kita, kita jangan fikir sangat nak keluar negara. Industri kita akan berkembang jika kita berkembang di sini dahulu, kemudian barulah fikir untuk keluar negara.

"Apa yang saya maksudkan adalah membabitkan sukan dua dan empat roda. Saya rasa tercabar untuk bertanding kerana saya ingin melihat pembangunan akar umbi kita menjadi lebih meriah pada masa akan datang," katanya.

Jelas bekas pelumba Malaysia pertama beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia itu lagi, selepas mendengar pendapat ahli gabungan pada AGM semalam terutamanya daripada dirinya sendiri, Mokhzani bersedia untuk mengadakan perbincangan dan bertukar idea.

"Mungkin dia (Mokhzani) rasa pendapat orang muda agak berbeza dengan pendapat pasukannya. Jadi dia sedia mengadakan perbincangan bersama kami pada masa depan," katanya.

Pemilihan AGM MAM yang berlangsung semalam agak panas apabila kumpulan penyandang diketuai Mokhzani menerima tentangan daripada kumpulan pencabar diketuai Shahrol Yuzy yang juga Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL).

Bagaimanapun Mokhzani berjaya mempertahankan jawatannya apabila 13 daripada 18 ahli gabungan memihak kepadanya.

Selain beliau, Timbalan Presiden, Datuk Mohammed Rhiza Ghazi; Setiausaha Agung, S N Nanthan dan Bendahari, Datuk Razlan Razali berjaya mempertahankan jawatan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 2:31 PM