PRESIDEN Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
PRESIDEN Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Affan Rostam


Kuala Lumpur: "Mana-mana pengadil dilesenkan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan tidak mahu bernaung di bawah Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf), kita akan gugurkan mereka."

Itu peringatan Presiden Mastaf, Datuk Suhaili Abdul Rahman berhubung keputusan 22 pengadil sepak takraw yang enggan bernaung di bawah badan itu.

Suhaili berkata, perkara itu akan dipanjangkan kepada badan utama sukan negara bagi tindakan selanjutnya.

"Kita akan maklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bahawa mereka ini tidak layak mengadili sebarang pertandingan mengguna pakai aturan Istaf," katanya kepada Arena Metro.

Suhaili berkata, semua pengadil mestilah bernaung di bawah Mastaf sekiranya mahu terbabit dalam mana-mana pertandingan kerana ketika ini mereka yang menjadi wakil kepada persatuan sepak takraw antarabangsa.

"Peraturan sepak takraw yang digunakan sekarang adalah peraturan daripada Istaf dan digunakan di seluruh dunia.

"Jadi, pengadil ini tertakluk sepenuhnya kepada peraturan Istaf.

"Dalam konteks Malaysia, Istaf diwakili oleh Mastaf. Maka, semua pengadil mesti bernaung di bawah Mastaf untuk melaksanakan apa juga peraturan Istaf pada setiap pertandingan," katanya.

Beliau berkata, pengadil terbabit hanya menunggu masa untuk digugurkan dan menegaskan pembabitan mereka dalam Piala Tun Ali akan datang sudah melanggar peraturan Istaf.

"Mereka ini hanya menunggu waktu saja untuk dibatalkan. Penyertaan mereka dalam Piala Tun Ali akan datang dan sebagainya sudah melanggar peraturan Istaf kerana penganjurnya Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bukan ahli gabungan kepada Mastaf apatah lagi Istaf.

"Jadi, mereka tidak boleh memberikan perkhidmatan sebagai pengadil tidak kira-kira mana pertandingan kerana ia menyalahi peraturan Istaf sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 9:00 PM