TRAGEDI menimpa Hattem akibat masalah teknikal enjin jenteranya.  FOTO  Facebook Hattem Rashdi
TRAGEDI menimpa Hattem akibat masalah teknikal enjin jenteranya. FOTO Facebook Hattem Rashdi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penganjur Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023, kelab MUSC yang menyaksikan Hattem Rashidi terkorban menjelaskan mereka tidak perlu mendapatkan kelulusan dari Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan sanksi Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Menurut MUSC, penganjuran program sukan tempatan oleh Badan Sukan (Kelab yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997) tidak perlu mendapatkan kelulusan PJS berkuatkuasa 10 April 2023.

"Bagaimanapun ia hendaklah mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS)," kata MUSC dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar mereka, antara garis panduan perlu dipatuhi mendapatkan kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemilik tapak lokasi.

"Selain itu penganjur juga hanya perlu mendapatkan perlindungan insuran bagi menjamin perlindungan peserta.

"Penganjuran program latihan sukan bermotor tidak perlu mendapatkan sanksi MAM seperti mana pernah dimaklumkan oleh pihak MAM sendiri menerusi sesi perbincangan di antara wakil MAM dengan kelab MUSC dan beberapa pemegang taruh (Pihak-pihak Penganjur) yang lain.

"Program latihan sukan bermotor iaitu Test N Tune Malaysia Drag Bike ET Record 2023 yang berlangsung di Litar Pekan Speedway, Pahang 2 da 3 September lalu mematuhi garis panduan seperti mana dinyatakan," kata MUSC.

Tambah MUSC, kemalangan membabitkan Allahyarham Hattem berlaku ketika sesi ujian latihan 'single run' sebelum hilang kawalan ke atas jenteranya disebabkan masalah teknikal enjin.

"Pihak kami berjumpa dengan waris serta mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian ini dari awal sehingga akhir, tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak yang ada turut ada kaitan.

"Pihak kami juga akan mengambil segala langkah penambahbaikan yang sewajarnya untuk memperbaiki aspek keselamatan semasa demi memartabatkan lagi program latihan Test N Tune ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:41 PM