SIC antara litar drag yang menjadi tumpuan. FOTO NSTP
SIC antara litar drag yang menjadi tumpuan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendedahkan bahawa peruntukan RM20 juta untuk membangunkan satu litar di setiap negeri tidak pernah diluluskan di Parlimen sekali gus pembinaanya tidak boleh diteruskan.

Menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa peruntukan itu yang diumumkan bagi Bajet 2023 sebenarnya tidak pernah dibahaskan dan tidak mendapat kelulusan.

"Ini kerana Datuk Seri Ismail Sabri (Perdana Menteri ketika itu) membubarkan Parlimen sejurus selepas membentangkan belanjawan beliau. Oleh yang demikian, bajet itu tidak pernah disalurkan kepada KBS bagi pembangunan litar drag seperti yang diumumkan.

"Selain daripada itu, bajet tersebut diumumkan tanpa mendapat data dan maklum balas daripada pihak kementerian. RM20 juta tidak cukup untuk pembinaan litar di setiap negeri," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan Ismail Sabri Yaakob yang menyarankan supaya kerajaan ketika ini, menerusi KBS meneruskan pembinaan litar drag di setiap negeri seperti cadangan kerajaan terdahulu yang bernilai RM20 juta.

Beliau berkata, ia untuk memberi peluang kepada golongan belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul.

Selain itu, KBS berkata, pihaknya amat prihatin terhadap faktor keselamatan anak muda dan tidak berhasrat untuk membina litar berdasarkan konsep sekadar ada.

"Tidak dinafikan sukan permotoran di litar drag adalah perlumbaan di platform yang baik dan bermanfaat untuk anak muda. Namun begitu, keselamatan pelumba, penonton dan semua yang terbabit perlu diberi keutamaan.

"KBS sentiasa proaktif dan mencari kaedah lain bagi memastikan sukan permotoran ini dapat terus dilaksanakan dalam keadaan yang terkawal dan selamat walaupun kekangan kewangan ketika ini menghalang usaha pembinaan baharu litar-litar permotoran khasnya litar drag.

"Antara usaha yang dilakukan adalah melalui projek menaik taraf serta memperbaiki kemudahan sedia ada di bawah KBS seperti Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang mencapai spesifikasi antarabangsa serta Litar Lumba Tangkak di Johor bagi penggiat sukan permotoran tempatan," katanya.

Pada masa sama, KBS juga bekerjasama dengan Persatuan Bermotor Malaysia (MAM) selaku badan induk Sukan Permotoran dalam memastikan operator serta penganjur sukan permotoran ini dapat melaksanakan program atau aktiviti mereka di litar yang selamat.

Kementerian menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan MAM juga sedang giat membangunkan garis panduan sukan bermotor yang mana akan memberikan panduan mengenai sukan bermotor terutamanya membabitkan penganjuran acara termasuklah perlumbaan drag.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2023 @ 2:17 PM