SYARIFUDDIN akan beraksi di GP Jepun dekat Litar Motegi, hujung minggu ini. FOTO MT Helmets-MSi
SYARIFUDDIN akan beraksi di GP Jepun dekat Litar Motegi, hujung minggu ini. FOTO MT Helmets-MSi
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Meskipun 'jodohnya' bersama MT Helmets-MSi akan berakhir selepas tamat musim ini, pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman dilihat mengetepikan segala kemelut membabitkan masa depannya di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Sebaliknya, pelumba yang mesra disapa Damok itu akan kembali fokus kepada perlumbaan seterusnya di Grand Prix (GP) Jepun hujung minggu ini dekat Liga Motegi selepas mengharungi satu lagi perlumbaan mengecewakan pada GP India minggu lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-21.

"Saya tidak sabar untuk perlumbaan di Jepun. Saya tiba di Jepun dengan harapan tinggi agar hujung minggu ini berjalan dengan jayanya.

"Saya tahu akan ada banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya akan menggunakan pengalaman daripada kesilapan yang saya buat dalam perlumbaan sebelum ini sebagai sumber motivasi untuk minggu ini.

"Matlamat saya adalah untuk memberi saingan sengit dan mendapatkan mata dalam perlumbaan. Akan ada banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang bertanggungjawab menguruskan karier Damok, menerusi laporan Arena Metro sebelum ini menyatakan MT Helmets-MSi tidak mahu terus menggunakan khidmatnya pada musim depan.

Malah penampilan satu-satunya pelumba Malaysia di perlumbaan paling berprestij itu pada musim ini juga kemungkinan besar hanya semusim penuh sahaja kerana agak sukar untuknya mencari tempat dengan pasukan lain yang kebanyakannya sudah menandatangani kontrak bersama pelumba masing-masing pada musim depan.

Zulfahmi bagaimanapun berkata, beliau akan terus mencari tempat untuk Damok meskipun peluang agak tipis kerana hanya dua pasukan sahaja yang masih belum memuktamadkan pelumba mereka pada musim depan dan bekas pelumba negara itu sedang menunggu jawapan daripada kedua-dua pasukan berkenaan.

Selepas 13 pusingan, Damok hanya mampu meraih lima mata yang diraihnya pada pusingan kedua di GP Argentina ketika rakan sepasukannya, Diogo Moreira menyerlah apabila meraih 101 mata untuk menduduki tempat ketujuh pelumba Moto3.

Malah ketika di GP India, Damok tewas kepada pelumba wild card negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20 bersama pasukan Petronas MIE Racing Vision Track Racing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 8:53 PM