NORRIS menduduki tempat keempat di GP Austria, hujung minggu lalu. FOTO REUTERS
NORRIS menduduki tempat keempat di GP Austria, hujung minggu lalu. FOTO REUTERS
Reuters

London: Lando Norris muncul pelumba terbaik Britain di Grand Prix (GP) Austria, minggu lalu, dan pemandu McLaren itu mahu mengulangi pencapaian sama di depan penyokong Formula Satu (F1) sendiri di Silverstone, Ahad ini.

Pemandu berusia 23 tahun itu menduduki tempat keempat di Red Bull Ring manakala pemandu Mercedes, George Russell dan rakan sepasukannya yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dan kelapan selepas dikenakan penalti.

Kedua-dua pemandu Britain itu mengatasi Norris dalam kedudukan keseluruhan dengan Hamilton mengumpul 106 mata, Russell dengan 72 mata manakala Norris dengan 24 mata.

Mercedes menduduki tangga kedua bagi pengeluar dan McLaren di tempat keenam, namun Norris berharap dapat mengekalkan prestasi cemerlang.

"Kami sudah tentu lebih baik berbanding mereka pada hujung minggu lalu," kata Norris.

"Saya boleh katakan, mereka sentiasa berada di depan pada setiap hujung minggu, tetapi ini kali pertama kami mengatasi mereka, jadi saya tidak boleh katakan tiba-tiba kami di depan Mercedes.

"Austria sentiasa menjadi perlumbaan terbaik kami pada setiap musim, paling kompetitif dan cemerlang, tetapi kami mengambil langkah ke depan.

"Silverstone penuh dengan selekoh kelajuan tinggi yang menjadi kekuatan kami, mungkin tidak banyak laluan lurus," kata Norris yang menyertai F1 pada 2019 dan tidak pernah menaiki podium di Silverstone manakala Hamilton mencipta rekod dengan lapan kemenangan di litar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 10:40 AM