VERSTAPPEN raih podium kedua di GP Arab Saudi. FOTO AP
VERSTAPPEN raih podium kedua di GP Arab Saudi. FOTO AP
AFP

Melbourne: Juara dunia dua kali, Max Verstappen mengharapkan Red Bull menyelesaikan masalah reliabiliti ketika dia menyasarkan kemenangan kedua perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini di Grand Prix (GP) Australia, Ahad ini, perlumbaan yang gagal dihabisinya tahun lalu.

Pemandu Belanda itu mempamer aksi cemerlang di GP Arab Saudi dua minggu lalu untuk menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan, Sergio Perez.

Tetapi selepas mendominasi sesi latihan bebas, Verstappen berasa marah apabila berdepan masalah jentera pada sesi kelayakan sekali gus memaksanya untuk bermula dari petak ke-15.

Menyedari bahawa kebakaran enjin meranapkan impiannya di Melbourne tahun lalu, pemandu berusia 25 tahun itu berharap tidak berdepan lagi masalah hujung minggu ini.

"Saya dapat meraih tempat kedua di mana ia bagus dan secara umum keseluruhan pasukan berasa gembira, tetapi secara peribadi saya tidak gembira, kerana saya tidak berada di sini untuk menduduki tempat kedua," katanya menjelang grand prix ketiga musim ini di Albert Park.

"Ia bukan sahaja mengenai kelajuan kereta, kami perlu memastikan mempunyai reliabiliti tanpa sebarang masalah.

"Apabila anda bersaing untuk kejuaraan dan anda tahu ia mungkin hanya membabitkan dua kereta, kami perlu memastikan bahawa kedua-dua kereta itu mempunyai reliabiliti."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:32 AM