HAKIM mahu lebih berhati-hati di Litar Mandalika. FOTO FB Hakim Danish
HAKIM mahu lebih berhati-hati di Litar Mandalika. FOTO FB Hakim Danish
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas terjatuh pada Perlumbaan 1 Asia Talent Cup (ATC) 2022 di laman sendiri, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memberi iktibar buat pelumba muda, Hakim Danish Ramli untuk lebih berhati-hati pada kemuncak pusingan di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia dari 11 hingga 13 November ini.

Pelumba berusia 15 tahun itu terjatuh ketika mendahului Perlumbaan 1 pada Sabtu lalu sehingga menyaksikan dirinya tidak dapat meneruskan saingan sebelum bangkit meraih kemenangan di Perlumbaan 2 keesokan harinya.

Menurutnya, pengalaman itu secara tidak langsung memberikan pengajaran apatah lagi dua perlumbaan di Mandalika bakal menjadi penentu gelaran sulung buat dirinya di pentas antarabangsa.

"Saya akan mengambil iktibar daripada perlumbaan itu (Perlumbaan 1) sebagai pengalaman untuk saya bawa ke Mandalika nanti," kata Hakim yang pada ketika ini mendahului carta kedudukan pelumba dengan 151 mata.

Mengekori rapat di belakangnya menjelang perlumbaan di Mandalika ialah wakil Jepun, Shinya Ezawa dengan perbezaan tiga mata manakala seorang lagi pelumba dari negara Matahari Terbit, Gun Mie berada di kedudukan ketiga, 116 mata.

Hakim Danish sebelum ini pernah menguasai Litar Mandalika bagi Pusingan 2 pada Mac lalu.

Bagaimanapun dia tidak mahu menjadikan rekod berkenaan sebagai bekalan selesa buat dirinya dengan menegaskan, perlu terus melakukan persiapan daripada sudut fizikal dan mental.

"Di Mandalika, saya nak fokus dengan diri sendiri dan meneruskan latihan bersama jurulatih. Saya rasa, tak banyak tekanan. Saya hanya nak memberikan fokus untuk memenangi kedua-dua perlumbaan saja," katanya. Hujung minggu ini, Hakim dijadual menyertai penampilan terakhir di European Talent Cup (ETC) yang memasuki pusingan kemuncak musim di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol.

Pada ketika ini, Hakim yang mewakili pasukan SIC Racing berada di tangga ketujuh keseluruhan dengan 88 mata, dibezakan 57 mata dengan pendahulu dari Itali, Guido Pini (AC Racing Team).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 6:38 PM