DAMOK perlukan anggaran RM3.5 juta
DAMOK perlukan anggaran RM3.5 juta
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif berharap akan ada berita gembira untuk sukan permotoran dalam pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat ini.

Jelasnya, berita gembira diharapkan itu khususnya sokongan dana untuk pelumba negara yang beraksi di pentas tertinggi dunia terutama Syarifuddin Azman atau Damok yang beraksi di kelas Moto3 dalam Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Sokongan dana itu diharapkan daripada kerajaan dan swasta. Kepada sesiapa yang berminat untuk menaja Damok untuk perlumbaan tahun ini, peluang itu masih terbuka.

"Apapun kita kena tunggu pengumuman belanjawan daripada kerajaan Jumaat ini dan harap dapat sokongan untuk Damok meneruskan perlumbaannya tahun ini," katanya.

Selain Damok, antara pelumba yang turut beraksi di pentas antarabangsa adalah juara Asia Talent Cup (ATC) 2022, Hakim Danish Ramli dan pelumba berjiwa besar, Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Jelas Azhan, sebelum ini beliau sendiri pernah menyuarakan hasrat kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh agar dapat memberikan sokongan dana kepada barisan pelumba negara.

"Saya sudah berbincang dengan Hannah untuk dapatkan dana sokongan buat pelumba kita. Adalah penting untuk kita teruskan usaha bagi menyambung (karier) pelumba kita seperti Damok, Hakim dan Danial.

"Mereka cukup berbakat dan prestasi mereka boleh dilihat pada tahun lalu dan sayang sekiranya tak sambung untuk tahun ini," katanya.

Sebelum ini, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin dilaporkan berkata, Damok memerlukan anggaran RM3.5 juta untuk melengkapkan musim sulungnya di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia tahun ini bersama pasukan MTHelmets-MSI.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 7:03 PM