HAFIZH (kiri) dan Adam ketika  majlis menandatangani perjanjian tajaan Racing boy (RCB).
HAFIZH (kiri) dan Adam ketika majlis menandatangani perjanjian tajaan Racing boy (RCB).
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Dua pelumba negara yang beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) pada musim ini, Hafizh Syahrin Abdullah serta Adam Norrodin mengakui teruja sekiranya perlumbaan berprestij itu kembali dianjurkan di Malaysia.

Bagi Hafizh yang akan beraksi pada musim penuh kedua bersama pasukan MIE Racing Honda dalam kelas WorldSBK, adalah menjadi impian setiap pelumba untuk beraksi di depan penyokong sendiri.

"Sudah pasti sebagai pelumba Malaysia, kita mahu berlumba di depan penyokong sendiri. Tapi saya tak pasti kita dapat menganjurkannya lagi atau tidak kerana kali terakhir ia dianjurkan beberapa tahun lalu (2016).

"Jika pihak berkenaan dapat membawa kembali penganjuran WSBK ini ke Malaysia, kenapa tidak. Ia pasti sangat menarik dan istimewa bagi semua pihak," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian tajaan Racing boy (RCB), hari ini.

Sementara itu, Adam pula yang akan tampil pada musim pertama dalam kelas WorldSSP berkata, jika WSBK kembali dianjurkan di negara ini, ia akan memberi impak positif bukan sahaja kepada dirinya.

"Ia bagus untuk penyokong sebab sudah beberapa tahun kita tidak menganjurkan WSBK. Sebagai pelumba, saya sudah banyak kali beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan ia pasti akan memberi motivasi tambahan ketika berlumba," katanya yang juga akan beraksi bersama MIE Racing Honda.

Menerusi perjanjian selama semusim itu, Hafizh dan Adam akan menggunakan beberapa produk RCB di WSBK.
Untuk rekod, Malaysia mula berada dalam kalendar WSBK di Litar Shah Alam pada 1990 dan 1991 sebelum kalendar saingan berpindah ke Litar Pasir Gudang, Johor sehingga 1993.

Selepas 21 tahun tidak dianjurkan di Malaysia, WSBK kembali dianjurkan di SIC pada 2014 sehingga 2016 dan menyaksikan bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin pernah meraih penamat di podium kedua dalam kelas Supersport pada tahun terakhir penganjurannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 4:23 PM