ADAM menandatangani kontrak bersama pasukan Jepun, Mie Honda Racing. FOTO FB ADAM NORRODIN
ADAM menandatangani kontrak bersama pasukan Jepun, Mie Honda Racing. FOTO FB ADAM NORRODIN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba motosikal negara, Adam Norrodin menandatangani kontrak bersama pasukan Jepun, Mie Honda Racing untuk bersaing di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bagi kelas SuperSport (WSSP) musim hadapan.

Perkembangan itu disahkan Adam yang menyaksikan pelumba berusia 24 tahun itu bakal menjadi pelumba kedua negara beraksi di saingan itu selepas Zulfahmi Khairrudin yang melakukan penampilan bersama pasukan Orelac Racing Verdnatura.

"Selepas tidak mendapat tempat dalam pasukan SIC, saya masih mencari-cari pasukan.

"Kebetulan rezeki saya apabila Mie Honda mahu menubuhkan pasukan untuk bersaing dalam kelas WSSP dan saya terus bersetuju untuk menyertai pasukan mereka.

"Pada mulanya saya enggan hebahkan kerana selagi masih belum ada sebarang hitam putih, saya tak berani nak beritahu apa-apa, termasuklah Hafizh (Syahrin), yang berada dalam pasukan itu.

"Alhamdulillah, syukur semuanya dipermudahkan dan saya tidak sabar untuk memulakan perjalanan baru dalam karier saya," katanya.

Adam bakal memulakan tugasan rasminya bersama pasukan baharu di Portimao, Januari depan untuk menguji jentera, sebelum beraksi pada pusingan pertama di Phillips Island, Australia pada 24 Februari.

Ketika ditanya mengenai kenderaan bakal ditunggangnya musim depan, Adam melaungkan keyakinan tidak akan berdepan masalah meskipun ia berbeza daripada yang digunakan sebelum ini.

"Benar ini kali pertama saya menunggang jentera Honda dan saya yakin tiada masalah kerana kerana pernah menunggang jentera 600cc di ARRC dan di CEV Sepanyol.

"Saya ada bertanya pelumba Malaysia mengenai jentera Honda dan mereka memberi maklum balas positif, jadi saya rasa tiada masalah dan cuba lakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 9:11 PM