QABIL (kanan) ketika menaiki podium ketiga di Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022. FOTO FIM MiniGP 2022
QABIL (kanan) ketika menaiki podium ketiga di Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022. FOTO FIM MiniGP 2022
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun sudah beraksi Litar Ricardo Tormo, Valencia dan berjumpa dengan pelumba handalan dunia secara bersemuka, ia bukan tiket untuk pelumba motosikal muda negara, Qabil Irfan Azlan berasa bangga.

Menurut bapanya, Azlan Abdul Rahman, masih banyak lagi yang perlu dipelajari oleh anak keduanya itu walaupun sudah mencipta sensasi pada usia 10 tahun dengan muncul juara keseluruhan Siri MiniGP Malaysia.

Prinsip Azlan sangat mudah, tidak mahu anaknya itu memperkecilkan kekuatan lawan dan terus belajar kerana dalam dunia permotoran banyak perkara perlu dipelajari termasuk anaknya walaupun sudah mempunyai pengalaman beraksi bersama pelumba handalan dunia di Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022.

"Sebagai bapa, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran untuk anak saya, begitu juga di Valencia baru-baru ini. Saya mahu dia dapat bersaing dan melihat sendiri bagaimana persembahan lawannya dari Eropah.

"Bila sampai sana, barulah saya lihat Qabil mempunyai lawan yang sebenar, cuma kita jadi lemah sikit apabila pelumba-pelumba di sana memang laju. Semua dalam kalangan terbaik dunia.

"Saya pun ada memberitahu Qabil ambil peluang untuk belajar, berikan tunggangan sebaik mungkin. Alhamdulillah dia beraksi cemerlang sehingga layak automatik ke perlumbaan Super Final," kata Azlan yang dihubungi Arena Metro hari ini.

Qabil berjaya menempatkan diri ke Valencia selepas mengungguli Siri MiniGP Malaysia dengan memenangi sembilan daripada 10 perlumbaan membabitkan lima pusingan.

"Saingan untuk tahun ini sudah berakhir buat Qabil dan kami menunggu keputusan daripada pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin. Saya ikut sahaja apa saja perancangan yang akan dilakukan.

"Alhamdulillah tahun ini satu pencapaian yang menggembirakan. Kita tidak meletakkan sebarang sasaran, hanya berusaha sahaja. Sebagai bapa saya tidak meletak sasaran tinggi.

"Anak saya baru 10 tahun, memang kami tidak meletakkan apa-apa sasaran tapi bola sudah dapat kejuaraan keseluruhan Siri MiniGP Malaysia, saya hanya bersyukur Alhamdulillah, begitu juga di Valencia tiada sasaran diletakkan buat Qabil," katanya.

Qabil yang mula meminati dunia permotoran sejak berusia empat tahun mencipta kejutan dengan menamatkan perlumbaan Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Valencia dengan menduduki tempat ketiga baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 itu menjadikan bekas pelumba MotoGP, Valentino Rossi dan juara 2022, Francesco Bagnaia sebagai idolanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:47 PM