QABIL Irfan bersama Azlan sebaik tiba di KLIA, semalam.
QABIL Irfan bersama Azlan sebaik tiba di KLIA, semalam.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sukan permotoran khususnya dua roda jika dilihat secara kasar seperti acara individu, namun sebaliknya ia adalah permainan berpasukan dan elemen paling penting membabitkan sokongan ibu bapa.

Situasi itu dilalui Qabil Irfan Azlan yang sentiasa mendapat sokongan daripada kedua-dua orang tuanya, sekali gus berjaya muncul juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023.

"Mak saya (Tuan Zarina Tuan Yusof) telefon sebelum perlumbaan berlangsung, ayah pula (Azlan Abdul Rahman) sentiasa memberi sokongan, terima kasih kepada siapa yang mendoakan saya, terima kasih juga kepada ZK Racing kerana menyiapkan jentera saya," katanya.

Walaupun hanya dengan satu panggilan telefon, ia sangat bermakna buat pelumba berusia 11 tahun itu dengan kejayaan menaiki podium buat kali ketiga berturut-turut bagi kategori 160cc.

Mengenai bapanya pula, Azlan bukan sekadar memberi sokongan, malah peminat sukan permotoran itu mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan anaknya sentiasa berada di depan ketika berada di dalam litar.

"Qabil menggunakan jentera 190cc ketika berlatih dan pada perlumbaan sebenar pula dia menunggang motosikal 160cc, itu adalah strategi untuk dia sentiasa menunggang lebih pantas berbanding pelumba lain.

"Selain itu saya sering memberi nasihat kepadanya, jika berada di depan jangan fikirkan siapa di belakang. Bahagian belakang biar mereka yang 'buat kerja', kita hanya fokus depan sahaja sehingga mencatat kemenangan," katanya.

Azlan mendedahkan Qabil seperti mempunyai naluri istimewa sebagai seorang pelumba yang dianggapnya sebagai satu anugerah.

"Dia dapat mengetahui sendiri di mana kelemahan pada jenteranya. Ia memudahkan untuk mekanik membuat pelarasan yang serasi dengannya. Ia bagaikan satu naluri semula jadi," katanya.

Ketiga-tiga elemen antara ibu bapa dan anak itu ternyata membawa kejayaan sensasi sehingga berjaya menidakkan kemampuan pelumba Eropah dan Jepun dalam saingan Siri Dunia MiniGP 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 9:48 PM