KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Buat kali pertama sejak 2009, tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket wild card di Grand Prix (GP) Malaysia, November ini.

Ia selepas tuan rumah, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sukar mendapatkan pelumba untuk diketengahkan meskipun ada prospek yang menyatakan minat beraksi pada perlumbaan berprestij dunia itu.

“Keputusan yang dilakukan, kita tak meletakkan pelumba kali ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Razlan Razali.

“Bagi saya, semuanya masih belum mencapai tahap diinginkan lagi, jadi lebih baik kita tidak membazirkan wang.”

Minggu ini, Meja Sukan NSTP melaporkan beberapa nama pelumba negara daripada kelas Supersports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) menjadi pilihan utama untuk ditawarkan slot wild card Moto2 di Sepang nanti.

Bekas pelumba Moto2 negara, Zaqhwan Zaidi termasuk dalam senarai berkenaan namun diketepikan kerana jadual GP Malaysia dari 2 hingga 4 November ini bertindih dengan tugasannya di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (AJRRC).

GP Malaysia yang dinobatkan selaku GP Terbaik tahun lalu, bakal menyaksikan tiga pelumba yang beraksi secara musim penuh - Hafizh Syahrin Abdullah (kelas MotoGP), Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3) - berentap di Sepang kali ini.

INFO 

SENARAI PELUMBA WILD CARD GP MALAYSIA

2017 - Kasma Daniel Kasmayudin (Moto3)

2016 - Ramdan Rosli (Moto2) 

2015 - Ramdan Rosli (Moto2)

2014 -  Ramdan Rosli (Moto3), Hafiza Rofa (Moto3)

2013 - Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2), Amirul Hafiq Azmi (Moto3), Husni Aizat Abdul Malik (Moto3)

2012 - Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2)

2011 - Farid Badrul (125cc), Hafizh Syahrin Abdullah (250cc), Mohamad Zamri Baba (250cc)

2010 - Mohamad Zamri Baba (250cc)

2009 - Zulfahmi Khairuddin (125cc), Elly Idzlianizar Ilias (125cc)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 8:14 PM