Zulfahmi (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Hakim.
Zulfahmi (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Hakim.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Pelumba macam Hakim (Danish Ramli) ini mungkin satu dalam sejuta."

Demikian kata bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin mengenai anak didiknya berusia 14 tahun itu yang berbakat besar dan mempunyai semangat luar biasa sekali gus berpeluang menjadi pelumba ternama satu hari ini.

Zulfahmi yang juga pengurus ZK Racing, sebelum ini memberi peluang kepada Hakim menyertai dan berlatih di Eropah sejak April lalu dan apa yang menakjubkan, pelumba itu dilihat mampu berdikari sendiri.

Selain beraksi di Asia Talent Cup (ATC), Hakim juga beraksi di European Talent Cup (ETC) bersama pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team.

Dia juga memenangi perlumbaan ketika kali pertama beraksi menerusi tiket 'wild card' di saingan Ohvale Coppa Italia bulan lalu.

Hakim anak muda berbakat besar.
Hakim anak muda berbakat besar.

"Hakim sememangnya sememangnya mempamerkan peningkatan sangat bagus daripada segi fizikal dan gaya tunggangan. Kami sememangnya memberikan program kecergasan yang penuh kepadanya selain latihan bersama motosikal.

"Masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki semasa latihan. Dia seorang yang sangat berdisiplin dan kejayaannya bukan hanya disebabkan oleh program saya tetapi ia banyak berkaitan dengan dirinya sendiri," katanya mengenai Hakim yang dicungkil bakatnya selepas menjuarai kejohanan SIC MiniGP tahun lalu.

Jelas Zulfahmi, sememangnya sukar untuk mencari pelumba berbakat seperti Hakim namun pencarian itu boleh ditemui sekiranya program mencari pelumba berbakat diperluaskan.

"Kita perlu mencari pelumba berbakat seperti Hakim menerusi program pencarian bakat yang konsisten. Bermula daripada program inilah orang macam Hakim akan muncul," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:00 PM