DAMOK bersama dua trofi dimenangi pada sidang media selepas perlumbaan.
DAMOK bersama dua trofi dimenangi pada sidang media selepas perlumbaan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba muda negara, Syarifuddin Azman memberikan impak luar biasa di Pusingan 3 Kejuaraan Dunia JuniorGP 2022 di Litar Catalunya, semalam apabila menduduki tempat kedua di kedua-dua perlumbaan.

Nyata penyertaannya atas tiket wildcard di Grand Prix (GP) Porutgal, Sepanyol dan Catalunya memberi pengalaman berharga buat dirinya untuk mengungguli perlumbaan satu dan dua.

Jelasnya, keputusan di Catalunya memberikan aura positif kepadanya apabila berjaya melunaskan janji untuk menghadiahkan kejayaan kepada rakyat Malaysia.

"Sudah tentu saya sangat gembira apabila dapat berdiri di atas podium untuk kedua-dua perlumbaan.

"Alhamdulillah seperti yang saya janjikan minggu lalu, saya dapatkan piala untuk rakyat Malaysia.

"Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras untuk mempersiapkan jentera terbaik untuk saya mengharungi minggu ini dengan baik," katanya.

Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok mengumpul 62 mata untuk berada di kedudukan ketiga keseluruhan ketika ini.

Dia ketinggalan kepada pelumba Team Estrella Galacia 0,0 dari Sepanyol, Jose Antonio Rueda mendahului carta keseluruhan kelas JuniorGP dengan 108 mata selepas meraih tiga kemenangan di Valencia dan di kedua-dua perlumbaan di Litar Catalunya, semalam.

Manakala David Salvador (Laglisse Academy) berada di tangga kedua dengan 69 mata.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril (Asia Talent Team) menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-14 dan tidak menamatkan Perlumbaan 2 disebabkan satu insiden di Selekoh 5 pada awal saingan.

Saingan Kejuaraan Dunia JuniorGP seterusnya dijadual berlangsung di Litar Jerez, 3 Julai ini sebelum saingan beralih ke Litar Misano pada September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 8:07 PM