HAFIZH Syahrin bakal beraksi di Tangkak, esok. FOTO Asyraf Hamzah
HAFIZH Syahrin bakal beraksi di Tangkak, esok. FOTO Asyraf Hamzah
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba sensasi permotoran negara, Hafizh Syahrin Abdullah tidak meletakkan harapan yang tinggi pada penampilannya di Pusingan 3 MSF SuperMoto 2021-22 yang dijadualkan berlangsung di Litar Tangkak, Johor, esok.

Sebaliknya dia yang akan menggunakan jentera TM SMX450 itu hanya mahu untuk menyesuaikan diri dengan suasana perlumbaan namun menjangkakan satu pertarungan sengit dengan bekas pelumba terkemuka di Kejuaraan Motosikal Dunia iaitu Azlan Shah Kamaruzaman.

Selain Azlan Shah, Hafizh turut menjangkakan saingan dari dua lagi pelumba elit SuperMoto iaitu juara dua kali SuperMoto Asia FIM, Gabit Salleh dan Danial Haiqal.

Bagi Hafizh, penampilannya kali ini adalah hanya untuk mencari rentak dan merasakan SuperMoto adalah satu medan untuknya membuat latihan menjelang Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) nanti.

"Saya tak mahu memikirkan sangat persaingan yang akan diterima nanti. Saya hanya mahu bertenang kerana masih mencari rentak.

"SuperMoto ini adalah satu latihan yang menyeronokkan dan menarik," katanya yang akan memacu jentera jentera CBR1000RR-R bersama MIE Racing Honda Team dalam saingan WSBK nanti.

Hafizh menamatkan kariernya dalam saingan Motosikal Dunia tahun lalu dan memutuskan untuk menyertai WSBK pada pertengahan November lalu.

Pada musim terakhirnya dalam saingan Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia tahun lalu, Hafizh menutup tirai kempen dengan mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga ke-28 keseluruhan bersama pasukan NTS RW Racing GP.

Untuk kempen WSBK, pelumba berusia 27 tahun itu akan bergandingan bersama Argentina, Leandro Mercado yang pada musim lalu menamatkan kempen WSBK di kedudukan ke-21 dengan 33 mata keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 2:08 PM