PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO E-mel
PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin. FOTO E-mel
Sukhairi Thani


LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) memberi bayangan pengganti Zulfahmi Khairuddin dalam saingan Moto2 harus memiliki pengalaman beraksi di kelas pertengahan itu atau pernah menyertai Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia (CEV).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya akan mencari pengganti itu secepat mungkin dan tidak semestinya pelumba tempatan terutamanya menjelang Grand Prix (GP) Perancis di Le Mans, minggu depan.

"Kami akan meneliti pilihan yang ada sebagai pengganti Zulfahmi," kata Razlan. "Kami berharap dapat mencari seseorang yang mempunyai pengalaman dalam Moto2 ataupun pernah menyertai latihan dalam Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia.

"Moto2 adalah satu perlumbaan yang sangat agresif dan kami perlu meniliti pelumba yang berkemampuan dan tidak terikat (dengan kontrak) dan ia mungkin pelumba tempatan atau antarabangsa.

"Kami harap dapat membuat pengumuman berkenaan dalam minggu ini."

Semalam, Zulfahmi yang menyertai SIC Racing bagi menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang menyertai kelas perdana MotoGP Februari lalu, mengesahkan perlumbaan di Grand Prix (GP) Sepanyol minggu lalu adalah perlumbaan terakhirnya bersama pasukan itu. 

Pelumba berusia 26 tahun itu membuat keputusan berkenaan selepas mendapati sukar untuknya menyesuaikan dengan atmosfera Moto2 yang jauh berbeza sekiranya hendak dibandingkan dengan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Moto3 yang pernah disertainya sebelum ini.

Untuk rekod, Zulfahmi tampak bergelut selepas lama meninggalkan perlumbaan kompetitif apabila hanya menduduki tempat ke-28 pada kempen pembuka tirai di GP Qatar pertengahan Mac lalu sebelum menduduki tangga ke-26 (GP Argentina) dan ke-27 (Amerika Syarikat).

Pada pusingan keempat di GP Sepanyol minggu lalu, Zulfahmi mengalami masalah teknikal di bahagian gear yang menyebabkannya terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 5:25 PM