MAX Verstappen. FOTO AFP
MAX Verstappen. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Max Verstappen enggan menyimpan angan-angan untuk menjadi juara dunia namun mengakui teruja untuk menggunakan nombor satu pada jentera Red Bull miliknya musim depan.

Pemandu berusia 24 tahun dari Belanda itu menggunakan nombor 33 sejak memulakan kariernya di saingan Formula Satu (F1) sejak 2015.

Bagaimanapun dia tidak menolak untuk menukarnya kerana berasakan ia adalah satu perkara yang bijak untuk dilakukan.

Verstappen enggan terlalu teruja meskipun mendahului tangga teratas kedudukan pemandu dengan 19 mata ketika berbaki empat perlumbaan lagi bermula dengan Grand Prix (GP) Brazil minggu ini.

"Sejujurnya jika anda tidak memikirkannya, anda tidak mempunyai impian atau apa sahaja. Jadi, saya hanya kekal fokus.

"Apa sahaja boleh berlaku pada empat perlumbaan ini. Kami berada pada prestasi terbaik tetapi segala-galanya boleh berubah dengan cepat.

"Saya sudah menyatakannya selepas perlumbaan di Monaco. Saya selesa mendahului tetapi kelebihan itu hilang hanya selepas dua perlumbaan," katanya.

Jika Verstappen dapat menghentikan penguasaan juara dunia tujuh kali dari Mercedes, Lewis Hamilton, dia akan muncul pemandu pertama menggunakan nombor satu di jenteranya sejak Sebastian Vettel pada 2014.

Hamilton kekal menggunakan nombor 44 meskipun muncul juara dunia berbanding menggunakan nombor satu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 10:19 AM