Pemandu Red Bull, Max Verstappen bersama trofi dimenangi di Grand Prix Mexico. FOTO EPA
Pemandu Red Bull, Max Verstappen bersama trofi dimenangi di Grand Prix Mexico. FOTO EPA
AFP

Mexico City: Max Verstappen mengungguli saingan Grand Prix Mexico ketika juara bertahan Lewis Hamilton terpaksa akur dengan kekuatan luar biasa jentera Red Bull.

Pelumba Mercedes, Hamilton menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan pemandu tuan rumah, Sergio Perez dari Red Bull di tempat ketiga.

"Kereta mereka jauh lebih berkuasa hujung minggu ini dan tidak ada apa yang dapat kami lakukan," kata Hamilton.

Verstappen, yang mendahului perlumbaan dari selekoh pertama, melintasi garis penamat 16.555 saat lebih awal daripada Hamilton.

Pemandu Belanda itu melebarkan penguasaan di puncak kejuaraan pemandu kepada 19 mata ke atas Hamilton dengan empat perlumbaan berbaki musim ini.

"Perjalanan masih jauh," kata Verstappen.

"Memang ia kelihatan selesa tetapi ia mampu berubah sekelip mata."

Pemandu Perancis, Pierre Gasly berada di tempat keempat dengan AlphaTauri disusuli pemandu Ferrari, Charles LeClerc dan Carlos Sainz.

Persaingan antara Verstappen dan Hamilton akan diteruskan di Sao Paulo, Brazil minggu depan sebelum kejuaraan beralih ke Timur Tengah untuk tiga perlumbaan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 9:03 AM