DANIAL Syahmi kembali ceria pada tahun ini dan sudah pun menggegar pentas ATC dengan meraih podium. FOTO Ihsan Asia Talent Cup
DANIAL Syahmi kembali ceria pada tahun ini dan sudah pun menggegar pentas ATC dengan meraih podium. FOTO Ihsan Asia Talent Cup
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Terlantar di hospital dan kemudian berusaha untuk pulih selama dua tahun lamanya memberi pengalaman cukup bermakna kepada pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril.

Pengalaman itu dilaluinya selepas terbabit dengan kemalangan ngeri pada 4 November 2018, iaitu ketika beraksi di saingan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menyebabkan kecederaan teruk di bahagian kaki kanannya.

Ramadan dan Syawal untuk dua tahun berturut-turut selepas itu tidak semanis yang diharapkan kerana dia sedang bergelut untuk pulih dengan impian mahu kembali beraksi semula.

Berkat semangat dan keazaman yang tinggi, pelumba berusia 18 tahun itu kembali ceria pada tahun ini dan sudah pun menggegar pentas ATC dengan meraih podium.

Sebagaimana ceria hatinya di atas litar, begitu jugalah rasa bersyukur Danial dapat menyambut Ramadan tahun ini dengan kehidupan lebih sempurna.

"Tahun lalu saya dapat berpuasa dengan keluarga tetapi ketika itu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan saya juga masih berusaha untuk pulih sepenuhnya.

"Tahun ini pula, saya sudah sembuh tetapi tak dapat berbuka bersama keluarga di Pulau Pinang kerana hidup bujang di Cyberjaya. Sudah pasti berbuka dengan keluarga lebih seronok tetapi sekarang nak rentas negeri masih tak boleh.

"Tapi bagi saya ia bukanlah masalah besar sebab keluarga juga faham. Saya sanggup buat apa sahaja demi karier termasuk berjauhan dengan keluarga," katanya yang kadangkala memasak sendiri juadah berbuka dan sahur.

Jelas Danial, Ramadan kali ini juga diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk terus menjalani latihan di litar atau di gimnasium.

"Saya perlu terus berlatih kerana mahu mendapatkan prestasi konsisten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 9:44 PM