VERSTAPPEN mencatat masa terpantas pada hari pembukaan ujian pramusim F1. FOTO AFP
VERSTAPPEN mencatat masa terpantas pada hari pembukaan ujian pramusim F1. FOTO AFP
AFP

Sakhir: Max Verstappen melaungkan amaran awal selepas mengatasi juara dunia pada hari pembukaan ujian pramusim Formula Satu (F1) di Bahrain, manakala Lewis Hamilton pula berdepan permulaan mencemaskan apabila ribut pasir melanda litar Sakhir.

Verstappen, yang dikatakan bakal menjadi pengganti kepada juara dunia tujuh kali, Hamilton mencatat masa 1 minit 30.674 saat.

Pelumba Red Bull itu juga melakukan 139 pusingan yang menakjubkan.

"Kami melalui hari yang sangat positif dan berjaya melakukan banyak pusingan walaupun keadaan litar sangat sukar.

"Kami tidak perlu bercakap mengenai kelajuan dan masih belum ada sebarang perbincangan sehingga kami beraksi di Q3 pada perlumbaan sulung. Ketika itu anda akan lihat kelajuan sebenar kami," katanya yang menduduki tempat ketiga keseluruhan musim lalu.

Dalam situasi yang berbeza, Hamilton hanya mencatat masa ke-10 terpantas dengan catatan 1:32.912s namun aksi 42 pusingan masih lagi lebih banyak berbanding rakan sepasukannya, Valtteri Bottas.

Bottas hanya melakukan enam pusingan dan mencatat masa paling perlahan, 1:36.850s.

Dia yang muncul naib juara di belakang Hamilton tahun lalu, lebih perlahan berbanding pelumba rookie seperti Nikita Mazepin dan Mick Schumacher.

"Ia bukan permulaan yang baik. Kami berdepan masalah kotak gear yang tidak tahu datang dari mana dan kami masih belum mengenal pasti puncanya," kata prinsipal Mercedes, Toto Wolff.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 1:30 PM