BOTTAS membuktikan Mercedes sudah bersedia mengusai GP Austria selepas meraih petak utama di Spielberg. FOTO AFP
BOTTAS membuktikan Mercedes sudah bersedia mengusai GP Austria selepas meraih petak utama di Spielberg. FOTO AFP
AFP

VALTERI Bottas berjaya mengetepikan rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton untuk meraih petak utama menjelang perlumbaan pembukaan Grand Prix (GP) Austria selepas saingan Formula Satu (F1) masih belum dimulakan lagi musim ini akibat Covid-19.

Pelumba kelahiran Finland itu berjaya menidakkan kemampuan juara dunia enam kali selepas mencatat masa terpantas satu minit 2.939 saat (s) dan berjaya mengelak daripada terbabas di pusingan terakhir untuk mengatasi Hamilton dengan kelebihan 0.012s

Ia adalah kali ketiga Bottas meraih petak utama di GP Austria dan kali ke-12 sepanjang karier.

"Saya berasa sangat gembira, sudah lama saya tidak merasai perasaan seperti ini.

"Saingan kelayakan sangat mendebarkan. Ia sesuatu yang istimewa apabila anda berjaya memandu jentera ke tahap paling laju. Saya sudah menunggu lama dan kami berjaya menguasainya," kata Bottas.

Sementara itu, Hamilton memuji pencapaian Bottas kerana berjaya memulakan aksi musim ini dengan cemerlang.

"Saya rasa kami membuktikan tahun demi tahun bahawa kami adalah pasukan terbaik. Ini kerana kami sentiasa bersikap terbuka," kata Hamilton

Sementara itu, Max Verstappen dari Red Bull mencatat masa ketiga terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2020 @ 11:29 PM