Aksi Khairul Idham Pawi dalam satu perlumbaan sebelum ini.
Aksi Khairul Idham Pawi dalam satu perlumbaan sebelum ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menegaskan keputusan Khairul Idham Pawi untuk bersara awal atau berehat seketika tidak sepatutnya berlaku.

Sebaliknya pelumba berpengalaman negara itu berkata, Khairul Idham atau nama gelaranya Super KIP, sepatutnya diberikan peluang sekali lagi pada musim depan untuk membuktikan kemampuannya.

Jelas Hafizh, pelumba berusia 22 tahun itu mempunyai bakat besar dan dia membuktikannya pada musim pertama di Kejohanan Motosikal Dunia 2016 apabila memenangi dua pusingan perlumbaan dalam kategori Moto3.

Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO File NSTP
Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO File NSTP

"Apabila seseorang pelumba itu turun ke kategori lebih rendah, sememangnya sukar untuknya menyesuaikan diri dengan jentera lebih kecil, malah cara tunggangan juga perlu ditukar.

"KIP menunjukkan peningkatan di awal musim tetapi dia sekali lagi berdepan kecederaan jari kelingking (kanan) dan kemudian terpaksa memotong jari itu. Bagi saya, tak mudah untuk buat keputusan memotong jari.

"Kemudian dia kembali berlumba dan ambil masa untuk meraih keyakinan semula. Jadi bagi saya, KIP patut diberi peluang sekali lagi untuk dia bangkit semula," katanya merujuk kepada Khairul Idham yang kembali beraksi di Moto3 musim lalu selepas tiga musim di Moto2.

Hafizh juga menegaskan individu sekeliling di dalam pasukan memainkan peranan amat penting kepada prestasi seseorang pelumba termasuk Khairul Idham.

"Saya tak tahu apa yang berlaku di dalam pasukan tetapi apa yang saya tahu itu antara sebab semangat KIP menurun. Apabila seseorang pelumba itu sering kena 'hentam', sudah pasti semangat dan keyakinan mereka akan menurun," katanya.

Khairul Idham sebelum ini menyatakan mahu berehat seketika selepas kontraknya bersama Petronas Sprinta Racing tidak disambung pada musim depan.

Hafizh pula akan terus beraksi dalam kategori Moto2 bersama pasukan NTS RW Racing GP selepas beraksi bersama Inde Aspar musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 2:34 PM