PETRONAS SRT ambil keputusan tidak sambung kontrak Super KIP.  FOTO Facebook PETRONAS SRT
PETRONAS SRT ambil keputusan tidak sambung kontrak Super KIP. FOTO Facebook PETRONAS SRT
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hati nuraninya begitu kecewa dengan apa yang berlaku dalam dunia permotoran negara ketika ini.

Ayah kepada pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin iaitu Abdullah Harun tidak dapat menyembunyikan perasaannya itu selepas melihat senario yang berlaku dalam dunia permotoran dan menyifatkan Khairul Idham Pawi adalah mangsa keadaan.

Biarpun bukan ayah kepada pelumba yang dikenali dengan julukan Super KIP itu, Abdullah menganggap Super KIP seperti anaknya sendiri dan beliau dapat merasai situasi yang dialami oleh pelumba Moto3 negara itu kerana pernah berada dalam situasi yang sama 10 tahun lalu.

Kata Abdullah, KIP adalah mangsa kepada kerakusan segelintir individu yang tidak tidak mempunyai nilai patriotik dan menjadikan dunia permotoran ini sebagai satu cabang perniagaan.

"Saya sangat kecewa. Keputusan yang diambil pengurusan ke atas KIP bukan satu keputusan yang tepat.

"Kita sendiri boleh fikir. Jari yang sihat jika dijentik pun sakit kenapa pengurusan boleh buat keputusan yang tidak betul untuk KIP. Saya tak dapat terima kenapa jadikan KIP down berkali-kali.

"Senang cerita, permotoran negara sekarang ini banyak masalah. Dalam pasukan sendiri pun tak bersatu. Patriotik terhadap negara itu tak ada. Tak seperti negara jiran kita Indonesia.

"Jujur saya cakap semangat patriotik kita kosong. KIP adalah antara mangsa. Banyak benda yang saya nak kongsi tapi saya tidak mahu benda ini merebak dan jadi lebih besar.

"Saya tahu KPI (petunjuk prestasi utama) anak saya (Hafizh), kekuatannya di mana. Saya yakin ada tempat untuknya di Moto2 nanti. Biar pasukan luar menilai kalau pasukan sendiri tidak dapat menilai," katanya.

Hafizh dan Kasma Daniel Kasmayuddin akan beraksi dalam Kejohanan Dunia dan akan meneruskan cabaran dalam saingan Moto2 tahun depan.

Kata Abdullah, beliau berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak lagi memberi penajaan kepada pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) berikutan tidak ada lagi pelumba negara di dalam pasukan itu.

"Saya amat kecewa dan betul-betul kecewa jika KBS masih terus bagi tajaan untuk pasukan SRT pada 2021 kerana bagi saya kenapa nak habiskan duit rakyat Malaysia untuk pasukan yang tiada pelumba Malaysia.

"Duit rakyat Malaysia bagi kepada pasukan SRT untuk pelumba luar. Saya tidak akan teragak-agak untuk buat sesuatu jika perkara ini diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2020 @ 7:15 AM