NURUL Izzah akan berlatih bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus sebagai persiapan ke Paris 2024.
NURUL Izzah akan berlatih bersama Azizulhasni dan Shah Firdaus sebagai persiapan ke Paris 2024.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Atlet berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri akan menjalani latihan bersama-sama Datuk Azizulhasni Awang serta Muhammad Shah Firdaus Sahrom bagi persiapan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley berkata, kem latihan skuad kebangsaan akan bermula Isnin depan di Velodrom Nasional di Nilai, namun Azizulhasni hanya akan turut serta pada Rabu.

Beasley berkata, beliau perlu mengiringi Azizulhasni ke London untuk melakukan ujian aero selepas jaguh pecut trek negara itu terlepas beberapa kali ujian itu kerana menumpukan perhatian kepada bayinya yang baru lahir dan masalah jantungnya.

"Pada Mei pula, saya akan bawa mereka ke Jepun sebelum kembali bagi membolehkan mereka menyertai Kejohanan Trek Kebangsaan yang dijadual 20 hingga 24 Mei.

"Untuk kejohanan kebangsaan itu, ia akan menjadi pentas latihan buat tiga pelumba ini," kata Beasley.

Jelas jurulatih dari Australia itu, Nurul Izzah, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan memulakan latihan di luar negara bermula Jun depan.

Beliau berkata, mereka akan ke Belgium selama tiga minggu untuk menjalani latihan dan menyertai beberapa kejohanan di sana sebelum ke kem latihan pusat di Mallorca, Sepanyol dan latihan terakhir di London.

Nurul Izzah mengikut jejak langkah Azizulhasni dan Shah Firdaus layak beraksi di Paris 2024 selepas cemerlang dalam saingan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada, hujung minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:25 PM