ANDY berharap atlet mengambil bahagian pada kejohanan terbabit dapat menggunakan peluang dengan sebaik mungkin. FOTO MOHD AMIN JALIL
ANDY berharap atlet mengambil bahagian pada kejohanan terbabit dapat menggunakan peluang dengan sebaik mungkin. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kejohanan Renang Terbuka Piala Presiden 2023 dijangka bakal menyaksikan saingan lebih sengit apabila seramai 1,500 atlet dari kelab-kelab renang negeri akan mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Renang Malaysia (Mas), Andy Low berkata kejohanan kebangsaan itu akan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dari 17 hingga 19 Disember ini.

Katanya, kejohanan itu akan mempertandingkan enam kategori umur bermula peringkat 8 hingga 10 tahun dan seterusnya sehingga ke peringkat senior.

"Dijangkakan sebahagian besar atlet remaja dan senior kebangsaan mewakili kelab-kelab renang di seluruh negara akan mengambil bahagian pada kejohanan itu nanti sekali gus membuka mereka beraksi dalam kategori terbuka.

"Selain sebagai medan mengetengahkan bakat baharu dan pendedahan dalam kalangan atlet akar umbi, kejohanan itu juga boleh dijadikan sandaran oleh persatuan renang negeri dalam persiapan mereka menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, tahun hadapan.

"Justeru, saya menjangkakan kejohanan kali ini tetap menjanjikan saingan sengit meskipun sebahagian besar atlet negara sudah selesai menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Sea dan Sukan Asia, tahun ini," katanya di sini, hari ini.

Andy berharap atlet yang akan mengambil bahagian pada kejohanan terbabit dapat menggunakan peluang dengan sebaik mungkin untuk menunjukkan kebolehan dan prestasi terbaik masing-masing.

"Kita (Mas) berharap melalui kejohanan ini, dapat mengenal pasti atlet muda yang berpotensi kerana sukan renang negara memerlukan ramai atlet pelapis berprestasi tinggi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa pada masa hadapan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Negeri Sembilan (PRNS) memaklumkan aktiviti PRNS tidak dapat diteruskan tahun ini susulan penutupan Pusat Akuatik Paroi, di sini.

"Kami difahamkan ada berlaku kebocoran di kawasan kolam renang di pusat itu dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:32 PM