ATLET muda Negeri Sembilan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Antara Kelab 2019, yang diadakan di Pusat Akuatik Paroi, tahun lalu. FOTO Mohd Amin Jalil.
ATLET muda Negeri Sembilan yang mengambil bahagian pada Kejohanan Renang Antara Kelab 2019, yang diadakan di Pusat Akuatik Paroi, tahun lalu. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


SUMBER kewangan yang terhad ternyata menyukarkan usaha Persatuan Renang Amatur Negeri Sembilan (PRANS) untuk melaksanakan program pembangunan dan latihan bagi melahirkan atlet akuatik berprestasi tinggi.

Setiausaha Kehormat PRANS, Andy Low Siak San, berkata pihaknya tidak dapat merangka program latihan bersepadu dan mantap kerana tidak memiliki jurulatih berwibawa bagi melatih atlet disebabkan sumber kewangan yang terbatas.

Katanya, sebelum ini PRANS mempunyai dua jurulatih dari China iaitu Qui Li bagi acara renang dan Shi Yang bagi acara terjun, namun kedua-duanya sudah ditamatkan kontrak dengan Shi Yang ketika ini melatih atlet akuatik Sarawak.

"Ketiadaan jurulatih berwibawa untuk melatih atlet baharu dalam kalangan kanak-kanak berusia seawal 10 tahun sama ada bagi acara renang atau terjun, menyukarkan kita untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi untuk Negeri Sembilan dan negara.

"Walaupun terdapat jurulatih tempatan yang boleh digunakan kepakaran mereka tetapi ianya tidak mencukupi dalam membantu meningkatkan prestasi atlet apatah lagi untuk memastikan mereka mencapai suatu tahap tertinggi.

"Rekod sebelum ini menunjukkan Negeri Sembilan melalui persatuan renang berjaya melahirkan ramai atlet renang dan terjun yang bukan sahaja mencapai tahap terbaik di peringkat kebangsaan malah antarabangsa terutama di Sukan SEA," katanya di sini, hari ini.

Siak San yang baharu sahaja mengambilalih semula jawatan berkenaan daripada pengurusan lama tahun lalu berkata, pihaknya akui prestasi dan pencapian atlet akuatik Negeri Sembilan ketika ini jauh daripada apa yang pernah dicapai beberapa tahun sebelum ini.

"Kita pernah lahirkan jaguh renang negara, Siow Yi Ting dan beberapa atlet lain tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukan renang di Negeri Sembilan suram, malah atlet kita juga tidak berjaya mencapai kelayakan untuk beraksi di temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Mac tahun depan," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu pihaknya ingin membuka lembaran baharu dan sudah merancang untuk mengadakan lima kejohanan peringkat negeri dan jemputan kebangsaan, namun tarikhnya belum dapat ditentukan lagi susulan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menurutnya, pada masa ini PRANS mempunyai 18 atlet muda berusia antara 8 hingga 15 tahun yang sedang diberikan bimbingan jurulatih tempatan.

"Kami berharap Majlis Sukan Negara (MSN) atau Majlis Sukan Negeri Sembilan (MSNS) dapat membantu dalam hal ini terutama mendapatkan khidmat jurulatih luar bagi membantu menjayakan rancangan tiga tahun PRANS, demi kebangkitan semula sukan akuatik negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 11:23 PM