PEARLY (kanan) dan Thinaah merangka strategi untuk mengesan kelompongan dalam permainan mereka. FOTO ARKIB NSTP
PEARLY (kanan) dan Thinaah merangka strategi untuk mengesan kelompongan dalam permainan mereka. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas berjaya menempah slot secara tidak rasmi ke Sukan Olimpik Paris 2024, beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kini fokus mencari formula terbaik menjadi pasangan konsisten, dalam usaha menampilkan persembahan luar biasa pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pearly, 24, berkata mereka sedang merangka strategi bersama barisan kejurulatihan untuk kembali mengesan 'kelompangan' corak permainan yang dipamerkan dengan menganalisis video untuk mengesan kekuatan dan kelemahan mereka.

"Jurulatih telah berbincang dengan kami tentang kesilapan sama berpandukan beberapa permainan sebelum ini.

"Pada permainan pertama kami menang dan apabila mendahului, (mesti) kurang konsisten dan kalah.

"Kami sedang mencari cara untuk menyelesaikan masalah. (Mengenai latihan di luar negara) kami belum mendengar apa-apa daripada jurulatih, kerana mereka sedang fokus pemain ke Piala Uber 2024," katanya.

Ditanya sekiranya juara Terbuka Perancis 2022 itu akan memilih bilangan kejohanan yang disertai atau sebaliknya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Paris 2024, Pearly berkata, semua keputusan itu diserahkan kepada barisan kejurulatihan yang pastinya lebih mengetahui tahap keupayaan mereka dalam gelanggang.

Anak jati Kedah itu memaklumkan, Masters Malaysia 2024 yang akan berlangsung pada 21-26 Mei ini hanya menjadi satu-satunya kejohanan yang diketahui berada dalam radar mereka setakat ini.

"Kami bebas daripada kecederaan, tetapi perlu fokus untuk menjadi lebih kuat kerana terdapat banyak kejohanan dengan intensiti tinggi.

"Saya sudah bersedia dari awal kerana ingin beraksi di Olimpik, tetapi perlu menjaga kondisi badan, memperkuatkan otot dan menjaga diri saya.

"Olimpik adalah mimpi setiap atlet (termasuk) saya dari kecil hingga sekarang. Saya sangat gembira kerana telah berjaya dan sekarang mahu fokus dan berharap untuk memberikan hasil terbaik," katanya.

Sukan Olimpik Paris 2024 dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:35 PM