WAI Ching (kiri) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
WAI Ching (kiri) pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO OWEE AH CHUN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bergelar pelari menara nombor satu dunia April lalu meniup semangat Soh Wai Ching yang berharap acara larian menara dipertandingkan di Sukan Sea Kuala Lumpur 2027.

Wai Ching berkata, Menara Merdeka 118 mampu untuk menjadi lokasi terbaik sekiranya acara itu dipertandingkan di Sukan Sea nanti.

Malah, satu perjumpaan akan diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama persatuan sukan bagi mengusulkan perkara itu untuk dipertimbangkan, minggu depan.

Wai Ching yakin sekiranya ia dipertandingkan, atlet berusia 28 tahun itu mampu untuk menghadiahkan pingat emas buat negara.

"Sebagai tuan rumah, kita mempunyai hak untuk menamakan acara sukan kita inginkan.

"Biarpun ketika ini kebanyakan negara di Asia Tenggara belum mempunyai persatuan namun mereka sudah mula menganjurkan pertandingan.

"Jika kita menganjurkan lebih banyak pertandingan lagi tahun depan, mungkin perkara itu bukan satu yang mustahil dan negara jiran kita iaitu Singapura antara negara yang kuat dalam sukan ini.

"Jadi kita perlu mula mempromosikan sukan ini lebih awal terutama selepas adanya banyak lokasi yang sesuai untuk dijadikan lokasi pertandingan," katanya pada sidang media, hari ini.

Sekiranya hasrat Wai Ching itu direalisasikan lima tahun lagi, ia bermakna pelari berasal dari Kuala Lumpur itu akan berumur 33 tahun dan menegaskan dia masih mampu berada di tahap terbaik.

Mengulas mengenai perancangnya tahun depan selepas cemerlang dengan 19 kejuaraan sepanjang 2022 termasuk kejuaraan Tunnel To Towers Climd New York di Amerika Syarikat pada Jun lalu, Wai Ching berkata, dia tidak lagi akan memberi tumpuan mengejar podium juara sebaliknya akan cuba untuk memecahkan rekod di pertandingan yang disertai.

Sambil menyasarkan antara 10 hingga 15 pertandingan, Wai Ching berkata, fokus untuk 2023 adalah memecahkan rekod pertandingan yang disertai selain mencatatkan nama sebagai pemegang rekod dunia dalam Guinness World Records.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 8:15 PM