WAI Ching takluk One World Trade Center.
WAI Ching takluk One World Trade Center.

Kuala Lumpur: Selepas rekod 19 kali menang berturut-turut lebur bulan lalu, pelari menara negara Soh Wai Ching kembali mengesahkan statusnya sebagai jaguh nombor satu dunia apabila mengungguli pertandingan 'Tunnel to Towers Climb NYC' di New York, Amerika Syarikat (AS) kelmarin.

Atlet berusia 27 tahun dari Selayang itu menguasai pertandingan mendaki 2,226 anak tangga dan 104 tingkat bangunan One World Trade Center dengan masa 12 minit 46 saat, jauh meninggalkan pencabarnya lebih tiga minit di belakang.

Pelari AS, Shari Klarfeld menduduki tangga kedua dengan masa 15:53 sekali gus menjuarai kategori wanita keseluruhan manakala seorang lagi pelari wanita Maria Elisa Lopez Pimentel dari Mexico di tangga ketiga dengan masa 16:02.

Roberto Velazquez Leyva dari Mexico meraih tangga kedua kategori lelaki dengan masa 16:52 manakala pelari tempatan New York, Stephen Marsalese di tangga ketiga 17:07.

"Persiapan saya tidak begitu bagus menjelang pertandingan ini tapi saya melakukan apa yang sepatutnya berbekalkan prestasi semasa dan memenanginya.

"Kini saya lebih faham dengan struktur anak tangga di sini dan tidak sabar untuk kembali tahun depan dan memperbaiki catatan masa saya," kata Wai Ching, yang tewas buat kali pertama sejak Disember 2019 di Warsaw, Poland hujung bulan lalu.

Dianjurkan oleh yayasan Tunnels to Towers Climb sejak 2015, dana yang dikumpul menerusi perlumbaan itu disalurkan kepada pertubuhan yang membantu mangsa serangan pengganas pada 11 September 2001 yang menyaksikan Twin Towers musnah.

"One World Trade Center satu bangunan ikonik yang menghargai pengorbanan semua wira insiden 9/11," kata Wai Ching.

Ia kemenangan keenam Wai Ching tahun ini selepas Larian M1 di Dubai (5 Februari), Big Climb Dallas (26 Mac), Big Climb Seattle (27 Mac), Big Climb Houston (2 April) dan Fight for Air Climb San Francisco (9 April).

Wai Ching akan meneruskan perjuangannya memburu kegemilangan dalam sukan itu apabila beraksi pada perlumbaan Fight For Air Climb NYC di Penn 1 Plaza, New York pada 11 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 10:22 PM