PELEPASAN para peserta Pertandingan Memancing Laut Dalam DAIWA 2024. FOTO Bernama
PELEPASAN para peserta Pertandingan Memancing Laut Dalam DAIWA 2024. FOTO Bernama
BERNAMA

Labuan: Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) ke-28 bermula hari ini dengan Kejohanan Memancing LISC Daiwa yang membabitkan penyertaan kaki pancing dari dalam dan luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Ismail berkata kejohanan itu masih menarik jumlah penyertaan memberangsangkan meskipun sedikit menurun berbanding 213 peserta pada tahun lepas.

Beliau berkata acara sukan laut terkenal itu menarik 184 peserta dari Malaysia, Hong Kong, Brunei, Singapura, Filipina, Thailand, China dan Indonesia.

"Kejohanan Memancing LISC Daiwa adalah antara acara utama cabaran tahun ini dan jumlah peserta yang memberangsangkan ini mencerminkan Labuan sebagai destinasi penggemar sukan laut," katanya kepada Bernama selepas melepaskan peserta kejohanan itu di Marina Awam Labuan di sini hari ini.

Rithuan berkata lokasi utama memancing di Kepulauan Spratly dan Pulau Layang-Layang bakal menjanjikan aksi mendebarkan buat pemancing berpengalaman dan pendatang baharu.

Beliau berkata LISC tahun ini menampilkan 17 acara yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM278,390 serta dijangka menarik sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung ke pulau itu.

"Cabaran Kayak Mengelilingi Pulau Labuan dan Pertandingan Memancing LISC Daiwa adalah tarikan utama dengan kedua-dua acara itu menawarkan hadiah berjumlah RM126,300," katanya.

Acara penutup LISC edisi ke-28 pada 28 April ini akan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 9:04 PM