Labuan: Seramai 212 peserta menyertai program Kayuhan Berbasikal Biro Tata Negara (BTN) Sabah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan Labuan 2015 di Dataran Labuan, di sini, semalam.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, program anjuran BTN Sabah dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Labuan itu memulakan kayuhan dari Dataran Labuan dengan mengelilingi wilayah berkenaan sejauh 45 kilometer.

“Kehadiran ramai peserta diharap membantu menjana ekonomi dan industri pelancongan tempatan.

“Aktiviti sebegini selain menyihatkan badan secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan baik antara pihak berkuasa wilayah dan kerajaan negeri,” katanya ditemui selepas majlis itu.

Turut hadir, Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Bashir Alias, Pengarah Pelancongan Perbadanan Labuan Mahathir Ab Hamid, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said, Pengarah BTN Sabah Datuk Ibrahim Saad dan Pengerusi Persatuan Berbasikal Labuan Jamil Kario.

Rozman yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan berkata, semangat muhibah itu akan berkekalan bukan saja antara kerajaan tetapi rakyat kedua-dua negeri berkenaan.

“Syabas diucapkan kepada BTN Sabah yang menganjurkan program ini yang mampu merapatkan hubungan baik antara rakyat Sabah dan Labuan,” katanya.

Sementara itu, Jamil berkata, melalui program kayuhan berbasikal itu, peserta dapat mengenali lokasi menarik dan menikmati keindahan pulau bebas cukai itu.

“Peserta melalui beberapa jalan utama termasuk Jalan Bandar, Jalan Patau-Patau, Jalan Kinabenua, Jalan UMS, Jalan Sungai Lada sebelum berhenti rehat di Taman Damai Layang-Layangan.

“Semua peserta akan berhenti rehat di Anjung Budaya, Taman Damai, Layang-Layangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:38 AM