KESILAPAN itu dikongsikan di media sosial. FOTO neil_clark/Instagram
KESILAPAN itu dikongsikan di media sosial. FOTO neil_clark/Instagram
Agensi

Sydney: Pertunjukan bunga api besar-besaran di Sydney sempena 2019 yang memukau penonton di seluruh dunia malangnya mempunyai satu kecacatan apabila tersilap mempamerkan tahun disambut.

Lebih 1.5 juta orang membanjiri pelabuhan di bandar terbesar Australia itu tanpa mengendahkan hujan lebat untuk menyaksikan persembahan gilang-gemilang yang menggunakan 8.5 tan bunga api serta membabitkan lebih 100,000 piroteknik, namun ucapan yang disuluh pada jambatan Pelabuhan Sydney tertulis ‘Selamat Tahun Baru 2018!’ lapor The Metro.

Gambar kesilapan itu dikongsikan di media sosial dan mengundang pelbagai komen seloroh pengguna Internet.

Seorang pengguna Twitter dipetik Channel News Asia berkata: “Menurut Sydney tahun ini masih 2018, jadi baiklah saya tidur saja.”

Pengguna media sosial hanya dikenali sebagai Michelle berkata: “Selamat tahun baru, rupanya di sini (Sydney) masih 2018.”

Penganjur acara itu yang menghabiskan begitu banyak wang dan masa merancang antara sambutan Tahun Baru pertama dunia itu bagaimanapun menerima positif kejadian itu, malah menganggapnya lucu.

Penerbit eksekutif acara itu, Anna McInerney berkata: “Kami semua ketawa apabila mendapat tahu perkara itu. Acara seperti ini mengambil 15 bulan untuk dirancang dan disiapkan.

“Apapun kami teruskan saja dengan persembahan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:00 PM