PERSEMBAHAN menarik Lovelly, Naccy dan Niathalia, ketika meraih gangsa Kejohanan Karate Asia 2023 di MITC Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PERSEMBAHAN menarik Lovelly, Naccy dan Niathalia, ketika meraih gangsa Kejohanan Karate Asia 2023 di MITC Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Trio negara dalam acara kata berpasukan wanita, Lovelly Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil menyumbang gangsa ketiga negara pada Kejohanan Karate Asia 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Aksi mereka cemerlang mereka terserlah selepas meraih 42.4 mata menewaskan Hong Kong yang mengumpul 41.8 mata menerusi kemenangan menarik terbabit.

Kejayaan trio berusia 19 tahun terbabit menamatkan kemarau pingat kontinjen negara selepas tiada pingat pada hari kedua semalam sekali gus menceriakan peminat yang hadir memberi sokongan padu pada hari terakhir terbabit.

Niathalia Sherawinnie berkata, dia amat berpuas hati dengan persembahan terbabit serta gembira dengan corak persembahan yang ditampilkan sekali gus sebagai hadiah hari kelahirannya semalam.

Sementara itu, Lovelly Anne pula berkata pingat terbabit menebus kekalahan mereka di Tashkent, Uzbekistan pada edisi lepas sekali gus menampilkan keserasian yang semakin baik.

"Untuk kami, kami rasa puas hati akhirnya kami dapat memperbaiki keputusan berbanding ketika beraksi di Uzbekistan dan saingan hari ini, kami dapat mengutip mata dengan baik sekali," katanya.

Jurulatih pasukan Mohd Norfarhan Nordin berkata banyak peningkatan yang ditampilkan trio negara terbabit dalam saingan kali ini.

"Saya berpuas hati dan banyak peningkatan terutama dari aspek teknikal dan kefahaman mereka dalam Kata. Persembahan mereka juga semakin matang dan ia sesuatu yang sangat bagus.

"Sehubungan itu, latihan dan persiapan atlet akan terus diberi penekanan sama ada ke Sukan Asia atau tidak kerana yang penting kita akan selalu bersedia. Bagi saya persiapan itu penting, tak kira apa kejohanan sekali pun," katanya.

Justeru, dia menyerahkan kepada pihak pengurusan Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) berkaitan peluang anak didiknya samada tersenarai atau sebaliknya dalam Sukan Asia di Hangzhou, China pada Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 3:44 PM