MIKE Mahen muncul juara dunia kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November 2023. FOTO ARKIB NSTP
MIKE Mahen muncul juara dunia kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November 2023. FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas lebih dua dekad menabur bakti dalam sukan bina badan, jaguh bina badan negara, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah bakal mengumumkan persaraannya dalam masa terdekat.

Perkhabaran mengenai persaraan atlet berusia 50 tahun itu, dimaklumkan menerusi satu hantaran kepada pengamal media sukan tempatan, mengenai sidang media yang akan dibuat pada Jumaat ini.

Pada Disember tahun lalu, beliau yang lebih mesra dipanggil Mike Mahen, pernah menyatakan hasrat untuk bersara bagi memberi ruang kepada pelapis baharu.

Sepanjang penglibatannya dalam sukan bina badan sejak berusia 24 tahun, beliau sudah memenangi hampir semua gelaran termasuk membolot gelaran juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November 2023.

Sebelum itu, beliau berjaya meraih gelaran juara Asia keenam di Nepal pada September dan mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022, pada Ogos 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 9:11 PM