MIKE tambah koleksi kejuaraan dunia keenam. FOTO  Instagram Mike Mahen
MIKE tambah koleksi kejuaraan dunia keenam. FOTO Instagram Mike Mahen
Syazwan Msar


Kuala Lumpur:Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah terus mengeggarkan pentas antarabangsa apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 yang berlangsung di Wonju City, Korea Selatan semalam.

Lebih manis lagi kejuaraan terbabit adalah yang keenam dikecapi jaguh bina badan negara terbabit sekali gus mempertahankan kemenangan yang dimenanginya pada tahun lalu di Phuket, Thailand.

Kejayaan merangkul pingat emas dunia dalam acara 'athletic physique' 167cm itu hadir selepas Syarul atau dikenali panggilan Mike meraih gelaran Asia di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik di Kathmandu, Nepal, September lalu.

"Alhamdulillah, saya dapat kekalkan kejuaraan buat kali keenam di pentas dunia selepas dua bulan lalu (gelaran) di kejohanan Asia. Sudah tentu saya gembira dan berharap kejayaan ini menjadi motivasi kepada atlet remaja kita.

"Dengan usia saya, saya boleh lakukan (merebut gelaran) di kejohanan dunia, jadi bagi saya pastinya atlet pelapis yang ada juga mampu melakukannya. Ini satu semangat yang saya nak berikan kepada mereka."katanya.

Musim 2023 menyaksikan tahun yang gemilang buat Mike selepas turut meraih beberapa pengiktirafan antaranya dikurniakan Pingat Panglima Mahkota Wilayah sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu, Mike juga dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Anugerah 100PLUS Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2022 selain turut dicalonkan sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Kebangsaan 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:59 PM