PEMAIN takraw negara sertai Kejohanan Piala Dunia pada Mei depan.
PEMAIN takraw negara sertai Kejohanan Piala Dunia pada Mei depan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melihat perkembangan pasukan ketika ini semakin baik dan terdapat peningkatan menjelang Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei ini.

Menurut Ahmad Jais, bagi memastikan pasukan negara terus berada di pestasi terbaik sehingga kejohanan itu berlangsung, beliau memberi fokus kepada tiga elemen penting yang boleh membantu pasukan mencatakan keputusan cemerlang nanti.

Malah, hasil latihan ala komando yang diadakan baru-baru ini Markas 69 Komando, Ulu Kinta, Perak juga dilihat memberi tonik tambahan kepada para pemain untuk menjadi lebih bersemangat dalam berjuang.

"Kita lebih titik beratkan kemahiran kawalan bola pemain untuk kita memperkemaskan lagi penerimaan bola pertama dan sebagainya manakala taktikal juga lebih kepada serangan posisi untuk tekong.

"Begitu juga apit kanan ,rejaman juga hadangan bagi menghalang lipasan dari pihak lawan. Tiga eleman ini kita gabungkan untuk bentuk prestasi yang lebih baik dan menjadi senjata untuk pasukan kita.

"Latihan sangat berbaloi meskipun ia dalam masa sangat singkat (9-11 Mac) namun pengisian ia sangat baik dan bentuk semangat juang pemain, sikap tidak mudah menyerah kalah, semangat setia kawan, semangat jati diri dan semangat sepasukan dan kita harapkan apa sahaja elemen yang telah mereka lalui, mereka pelajari akan dapat di bawa semasa kita mempersiapkan pasukan untuk latihan dan pertandingan nanti, insyallah.

"Kerana bagi saya tanpa semangat juang yang tinggi, tanpa beberapa elemen lain kita mungkin agak sukar untuk memberikan satu prestasi yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini dan kita rasa pemain-pemain sudah semakin sedap (serasi) dan memunyai semangat yang cukup tinggi ketika ini untuk berikan yang terbaik semasa perlawanan Piala Dunia itu nanti,"katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Ahmad Jais mengakui bermain di halaman sendiri bukan sesuatu yang mudah dan para pemain harus memberi aksi terbaik kerana semua pasukan sudah pasti inginkan kejayaan dalam kejohanan berkenaan.

Tambahnya, dirinya turut menyambut baik sistem mata yang diperkenalkan nanti dan ia satu usaha baik yang akan memeriahkan lagi perlawanan itu nanti selain mengangkat sesuatu kejohanan itu menjadi lebih berprestij.

"Kita harap pasukan dapat berikan prestasi terbaik untuk banggakan PSM (Persatuan Sepak Takraw Malaysia) MSN (Majlis Sukan Negara) dan peminat sepak takraw. Ini tanggungjawab besar untuk pasukan beraksi di hadapan penyokong sendiri bukan peluang yang mudah. Pemain perlu ambil cabaran dan juga azam yang tinggi bg beri Keputusan yang jauh lebih baik.

"Bagi saya satu perkara yang baik kerana setiap negara akan bekerja keras mengejar mata bagi memperbaiki ranking setiap negara dalam apa-apa jua kejohanan sepak takraw khususnya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 5:40 PM