PRESTASI Syahir semakin meningkat.
PRESTASI Syahir semakin meningkat.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pasukan sepak takraw Malaysia ketika ini berada di persiapan terakhir bagi menghadapi Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Mei ini.

Ketua jurulatihnya, Ahmad Jais Baharun berkata, terdapat beberapa aspek perlu diberikan perhatian lagi dan dipertingkatkan agar pemain benar-benar bersedia menghadapi kejohanan besar itu nanti.

Katanya, ketika ini kesemua pemain masih di dalam fasa pemilihan dan beliau akan melengkapkan pasukan selepas perlawanan persahabatan yang akan diadakan di Stadium Titiwangsa pada 26 hingga 28 April ini.

"Terdapat beberapa aspek perlu diberikan perhatian iaitu fokus pemain dan komunikasi semasa mereka di dalam gelanggang. Kita akan berikan tumpuan kepada perkara ini dan beberapa perkara lain.

"Pemain juga baru lapor diri semalam selepas diberikan rehat beberapa hari. Sudah pasti akan ada sedikit penurunan prestasi dan kita akan perbetulkan perkara itu agar pemain dapat semula rentak mereka.

"Kita juga akan adakan sesi 'test match' bersama pasukan Navy dan dari situ, kita akan senaraikan pemain terbaik membawa cabaran Malaysia di Piala Dunia itu nanti," katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, Ahmad Jais juga melihat prestasi tekong utama negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi juga semakin meningkat ketika menyertai kejohanan Princess Cup 2024 Bangkok, Thailand awal bulan lalu namun masih ada perkara perlu dibaiki.

Malah, beliau juga memaklumkan selain acara berpasukan regu, mereka juga akan memberikan tumpuan kepada acara double di kejohanan itu nanti.

"Prestasi panjang (Syahir) semakin baik cuma perlu lebih lagi konsisten (dari segi servis) dan dari segi pertahanan kena perkemaskan lagi sebab masa lawan Siriwat Sakha (tekong Thailand), ada elemen perlu kemas kini walaupun nampak peningkatan prestasi dan kita tidak boleh rasa selesa serta perlu bekerja lebih keras.

"Acara double kita juga kena fokus sebab kita nampak ada peningkatkan prestasi di Thailand baru-baru ini," katanya. Untuk makluman, Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 berlangsung di Stadium Titiwangsa bermula 18 hingga 26 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 5:01 PM