PASUKAN KPT-Masum Knights yakin mampu cipta kejutan.
PASUKAN KPT-Masum Knights yakin mampu cipta kejutan.
Wan Izzati Amir


Kuala Lumpur: Pasukan KPT-MASUM sudah bersedia untuk menggalas cabaran pada penyertaan pertamanya di Kejohanan Sepak Takraw (STL) Premier 2022/2023.

Biarpun julung kali bakal beraksi di pentas STL, namun pasukan itu meletakkan sasaran tinggi untuk berada di kedudukan empat terbaik.

Ketua jurulatih Ahmad Sufi Mohamed Hashim berkata pasukannya akan berusaha menunjukkan semangat juang tinggi dan memberikan persaingan yang hebat.

"Walaupun kami terdiri daripada penuntut universiti dan tiada pemain import, kami yakin pemain-pemain ini mampu menggalas tanggungjawab ini kerana mereka juga pemain berkualiti.

"Mereka pernah berhadapan dengan pasukan yang hebat sebelum ini, dengan pengalaman itu semoga semua pemain dapat beraksi dengan cemerlang di kejohanan nanti.

"Kami menjadikan sasaran berada di kedudukan empat terbaik sebagai satu cabaran kepada kami dan yang paling penting pemain sentiasa fokus semasa latihan dan perlawanan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis memperkenalkan pasukan sepak takraw KPT-MASUM di Serdang, Selangor.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik, KPT, Datuk Dr Pekan Ramli dan pengurus pasukan Dr Hanafiah Ayub.

Kejohanan STL Liga Premier 2022/2023 bakal berlangsung dari Mei hingga Ogos depan bertempat di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:18 PM