PASUKAN ATM muncul juara Piala Emas Khir Johari edisi ke-55 di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.
PASUKAN ATM muncul juara Piala Emas Khir Johari edisi ke-55 di Stadium Negeri Terengganu, Kuala Terengganu.
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun menyifatkan semua pasukan yang bakal bertanding di Kejohanan Sepaktakraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari (PEKJ) 2024 mempunyai peluang cerah menjadi juara edisi ke-57.

"Banyak pasukan kita nampak menyerlah dari segi pemain mereka. Nak pilih satu pasukan itu agak sukar kerana perlawanan kali ini mempertandingkan acara regu pemain bawah 21 (B21).

"Jadi kemampuan setiap pasukan banyak bergantung pada kekuatan setiap beregu yang bertanding dalam kejohanan nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurutnya, kejohanan itu adalah platform terbesar bagi pemilihan pemain B21 untuk menyertai skuad Malaysia B tahun ini serta pemilihan baki empat lagi pemain yang bakal diserap ke pasukan kebangsaan.

"Kejohanan ini antara platform terbaik untuk kita menilai pemain yang berkualiti dan paling menyerlah untuk berada dalam program Podium.

"Kita dah mulakan dari segi tatacara yang lebih kemas bagi menilai pemain kerana atlet Podium dah ditawarkan Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) yang dibayar Majlis Sukan Negara (MSN) dan kadarnya lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Menurut jurulatih yang juga legenda sepak takraw negara itu, elemen penting bakal diambil kira semasa kejohanan nanti adalah dari segi serangan dan pertahanan serta konsistensi setiap pemain.

"Dua elemen ini adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan bagi sesuatu pasukan kerana kita melihat kekuatan yang ada pada setiap pemain agak berbeza.

"Jadi dari segi pendekatan untuk memilih pemain paling menyerlah, ada banyak perkara kita perlu ambil kira bagi membuat penilaian terbaik khususnya untuk mengangkat pemain yang berpotensi besar dalam sukan sepak takraw," katanya.

Piala Emas Khir Johari edisi ke-57 bakal berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah dari 22 hingga 27 Januari ini.

Untuk rekod, pasukan Johor merangkul gelaran juara Piala Emas Khir Johari sebelum ini manakala pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula diangkat sebagai naib juara pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 4:35 PM