REAKSI  Murray sebaik tamat perlawanan menentang  Goffin. FOTO AFP
REAKSI Murray sebaik tamat perlawanan menentang Goffin. FOTO AFP
Reuters

Indian Wells, California: Andy Murray bergelut di atas gelanggang sejak beberapa bulan lalu tetapi pemain Britain itu mempamerkan servis terbaiknya untuk menewaskan David Goffin 6-3, 6-2 di pusingan pertama Indian Wells awal pagi tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu berkata bulan lalu dia mungkin menamatkan kariernya selepas musim panas walaupun berharap dapat meraih pingat emas Olimpik ketiga di Paris.

Ketika dia masih gagal mengembalikan reputasinya sebagai pemenang tiga kali Grand Slam, bekas pemain nombor satu dunia yang kini menduduki ranking 61 tampak berbahaya di atas gelanggang apabila menewaskan lawannya dari Belgium untuk kemenangan kelapan berturut-turut.

Murray yang akan menentang Andrey Rublev selepas ini berkata kesempurnaan servisnya memainkan peranan utama dalam perlawanan itu.

"Bagi saya ia adalah servis," kata Murray yang menang 85% mata daripada servis pertamanya selain empat ace.

"Apabila anda kerap berjuang mendapatkan mata menerusi servis, anda akan lebih tertekan tetapi hari ini saya mendapat banyak mata percuma dengan servis.

"Saya juga dapat memukul bola dengan baik dari belakang gelanggang selain bertahan dengan baik. Keseluruhannya ia prestasi mantap dan saya berpuas hati."

Dalam perlawanan pusingan pertama yang lain, Brandon Nakashima mengatasi rakan senegara dari Amerika Syarikat Christopher Eubanks 6-3, 7-6(3) untuk menempah pertemuan dengan pemain Czech Jiri Lehecka.

Turut mara ke pusingan kedua ialah pemain Australia Thanasi Kokkinakis dan Christopher O'Connell, pemain Jepun Taro Daniel dan wakil Hungary Fabian Marozsan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 10:01 AM