PAIRE jumpa Humbert di pusingan ketiga.  - FOTO Agensi
PAIRE jumpa Humbert di pusingan ketiga. - FOTO Agensi
AFP

PILIHAN utama, Benoit Paire dari Perancis mara pusingan ketiga Terbuka Winston-Salem selepas menewaskan Prajnesh Gunneswaran 6-3, 7-5, awal pagi tadi.

Paire menduduki ranking 30 dunia membalas dendam kekalahan kepada pemain India itu di Indian Wells pada Mac lalu.

Paire mematahkan servis Prajnesh pada set terakhir sebelum melakukan ace ke-14 pada mata penamat untuk mengesahkan kemenangan bagi menempah pertemuan dengan rakan senegara, Ugo Humbert yang menewaskan pemain Amerika Syarikat, Bjorn Fratangelo 3-6, 6-3, 6-2.

Selepas mendapat ‘bye’ di pusingan pertama, Paire lega dapat menyesuaikan diri dengan bahang cuaca di North Carolina menjelang Terbuka Amerika Syarikat yang bermula Isnin depan di Flushing Meadows, New York.

"Secara jujur, saya suka bermain sebelum Slam,” katanya. “Saya melakukan perkara sama di Lyon beberapa minggu sebelum Roland Garros dan saya menjuarai kejohanan itu. Jadi ia persediaan yang bagus.”

"Saya cuba melakukan perkara sama dengan berusaha menang lebih banyak perlawanan. Saya fikir ia sangat penting sebelum menyertai Terbuka AS.”

Sementara itu, pilihan kedua Denis Shapovalov turut mara selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat, Tennys Sandgren 6-2, 6-4 yang sebelum itu mengatasi cabaran juara tiga kali Grand Slam, Andy Murray.

Shapovalov bakal menentang pemain remaja Serbia, Miomir Kecmanovic di pusingan 16, awal pagi esok.

Lee Duck-hee yang muncul pemain pekak pertama menang di ATP tewas kepada pemain meningkat naik dari Poland, Hubert Hurkacz 4-6, 6-0, 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 11:40 AM