NAIB Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman (kanan) bergambar bersama  Nur Humaira Abdul Karim (dua, kanan) dan Wan Muhammad Fazri (dua, kiri) pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2023 di Kompleks Perdana Siswa (KPS) Universiti Malaya (UM). FOTO Bernama

Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara, Wan Muhammad Fazri Wan Zahari dan jaguh taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim masing-masing dinobatkan selaku Olahragawan dan Olahragawati pelajar pada majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya 2023 (MASUM), semalam.

Wan Muhammad menerima anugerah itu atas kecemerlangannya di Sukan Sea Kemboja tahun lalu apabila meraih pingat gangsa dalam acara 800 meter (m) di Stadium Morodok Techo.

Dia terlepas peluang meraih emas selepas dihimpit dan dihalang walaupun berupaya untuk memintas peserta di tempat pertama dan kedua. Untuk rekod, ia penampilan kali pertama Wan Muhammad pada temasya dwi tahunan itu.

Sementara itu, Nur Humaira mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas acara pommsae individu wanita selepas memungut 7.430 mata.

Dia mengatasi pencabar dari Singapura, Diyanah Aqidah Muhammad Dian Khudairi yang meraih 7.260 mata manakala atlet Kemboja Mang Kanithyda ketiga dengan 7.090 mata.

Nur Humaira juga dinobatkan selaku Olahragawati pada MASUM 2022.Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Ir Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 8:53 AM