SYAHIR (kiri) dan Laylatun ceria bersama trofi masing-masing.
SYAHIR (kiri) dan Laylatun ceria bersama trofi masing-masing.
Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadi kelebihan buat atlet petanque, Mohammad Syahir Syahmi Hassan dan Laylatun Qadrina Amrizal dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Anugerah Olahragawan dan Olahragawati harapan milik Mohammad Syazwan Fauzi dan Nur Amirah Mohd Nasai yang turut melakar kejayaan dalam acara petanque.

Bagi Mohammad Syahir Syahmi, 22, pencapaian terbaiknya untuk negara adalah apabila meraih pingat emas Kejohanan Petanque Terbuka Singapura bagi acara triple lelaki dan pingat gangsa pada Kejohanan Petanque Asia-Pasifik ke-18 di Laos.

Katanya, pada Kejohanan Petanque antara Universiti Asia di Palembang, Indonesia, tahun lalu dia hanya meraih gangsa.

“Pada peringkat kebangsaan tahun lalu saya merangkul dua pingat emas dalam acara sama di kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan pada kejohanan sama 2013 saya meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa.

“Manakala kejohanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) kebangsaan tahun lalu saya mengutip dua emas, hanya satu pingat perak di kejohanan sama pada 2013,” katanya yang juga bersaing di Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014.

Dia berkata demikian pada Majlis Penghargaan Sukan dan Pemberian Insentif Kecemerlangan Sukan UMP 2014 yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin di Dewan Astaka UMP, baru-baru ini.

Pada majlis itu seramai 18 atlit menerima insentif kecemerlangan bernilai antara RM200 hingga RM700, selain empat pasukan iaitu petanque, sepak takraw, futsal dan bola keranjang.

Mohammad Syahir Syahmi yang kini menuntut di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal berkata, tumpuan utama tahun ini adalah untuk melakar kejayaan pada kejohanan MASUM dan IPT kebangsaan.

Sementara itu, bagi Laylatun Qadrina Amrizal, 20, kejayaan tertinggi diraih apabila meraih empat pingat emas pada kejohanan MASUM 2013 dan pingat perak pada kejohanan antara IPT kebangsaan.

“Saya mendapat tempat pertama pada MASUM 2014 dan kejohanan jemputan Mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan naib johan kejohanan terbuka Kuala Lumpur.

“Selain memberi tumpuan kepada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) bersama kontinjen Kuala Lumpur tahun ini saya juga akan menyertai kejohanan petanque antara IPT kebangsaan,” katanya yang kini menuntut dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:42 AM