SUKARELAWAN bergambar di depan tugu tiga maskot temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 berdekatan dengan Perkampungan Sukan Asia. FOTO Reuters
SUKARELAWAN bergambar di depan tugu tiga maskot temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 berdekatan dengan Perkampungan Sukan Asia. FOTO Reuters
AFP

Hangzhou, China: Selepas ditangguhkan selama setahun ekoran pandemik Covid-19, akhirnya bandar Hangzhou bakal menyambut kira-kira 12,000 atlet dan pegawai dalam temasya Sukan Asia yang dianggap terbesar dalam sejarah.

Ia susulan jumlah kehadiran atlet yang dianggap luar biasa berbanding beberapa edisi lalu di mana sebanyak 40 jenis sukan bakal dipertandingkan termasuklah acara tumpuan iaitu olahraga, renang, bola sepak hinggalah e-sukan.

Temasya empat tahun sekali itu sepatutnya diadakan pada September tahun lalu tetapi ditangguhkan bagi meredakan kebimbangan mengenai Covid-19, sehinggalah dasar Kerajaan China berkenaan sifar Covid dimansuhkan.

"Kami berjaya menangani banyak cabaran tetapi kini kami benar-benar bersedia untuk menganjurkan temasya yang berjaya," kata jurucakap temasya Chen Weiqiang semalam.

Temasya itu akan diadakan di 54 gelanggang – 14 baru siap dibina – kebanyakannya di Hangzhou tetapi turut diadakan di bandar raya sejauh Wenzhou, 300 kilometer ke selatan.

Tumpuan utama adalah di Stadium Olimpik 'Big Lotus' dengan kapasiti sehingga 80,000 yang mana acara olahraga serta upacara pembukaan dan penutup akan dilangsungkan.

Presiden Xi Jinping akan menghadiri majlis pembukaan dan bertemu pemimpin yang hadir, menurut media rasmi China.

Hangzhou, bandar raya dengan 12 juta penduduk satu jam perjalanan dengan kereta api laju dari Shanghai, terkenal di China kerana kuil purba, taman dan West Lake.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 2:01 PM