KEJOHANAN Olahraga Dunia tahun lalu diadakan di Doha, Qatar. FOTO AGENSI
KEJOHANAN Olahraga Dunia tahun lalu diadakan di Doha, Qatar. FOTO AGENSI
Reuters

PERSEKUTUAN Olahraga Dunia (WA) bersetuju untuk mengubah tarikh Kejohanan Olahraga Dunia 2021 jika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur Sukan Olimpik 2020, Jepun mempunyai tarikh baru untuk temasya berkenaan.

“WA sudah pun mengadakan perbincangan dengan Jawatankuasa Penganjur Oregon 21 berkenaan dengan kemungkinan Sukan Olimpik akan ditunda ke tahun hadapan,” jelas badan induk olahraga dunia itu dalam satu kenyataan.

Kejohanan berkenaan akan diadakan di Eugene, Oregon bermula 6 hingga 15 Ogos dan kali pertama ia diadakan di Amerika Syarikat.

“Jawatankuasa Penganjur Oregon 21 menyedari sebarang kemungkinan mengenai perubahan tarikh jika Olimpik 2020 ditunda ke tahun 2021,” jelas kenyataan itu.

Persekutuan Padang dan Balapan Amerika Syarikat (USATF) berkata, mereka menyokong perbincangan berkenaan.

IOC menjelaskan hujung minggu lalu bahawa dalam tempoh empat minggu ini mereka akan membuat keputusan menunda temasya berkenaan atau tidak.

Temasya berkenaan menjadi tanda tanya sama ada mampu diteruskan tahun ini atau tidak berikutan pandemik Covid-19 yang mengorbankan ribuan mangsa.

Ditunda selama setahun adalah keputusan terbaik seperti yang diberitahu oleh Ahli IOC, Dick Pound dari Kanada kepada Reuters semalam.

Ini bermakna temasya yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai hingga 9 Ogos itu akan dilangsungkan pada pertengahan tahun depan.

Kanada berkemungkinan tidak akan menghantar atlet jika temasya itu tetap diadakan tahun ini, manakala Australia menyuruh atlet mereka bersedia untuk menghadapi Olimpik 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 11:17 AM