Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Atlet berbasikal kebangsaan, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff dan atlet karate negara, Siti Nur Azwani Nor Azli dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2021/2022 dalam Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) di Wisma Darul Iman, malam tadi.

Nur Aiman yang juga pelumba profesional Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) muncul pemenang selepas mengetepikan empat pencabar termasuk pemanah Olimpik negara, Khairul Anuar Mohamad, Muhammad Izuddin Abdul Rani (pelayaran), Muhammad Shahrul Aimy Kamaru Hisham (gimnastik) dan seorang lagi atlet berbasikal, Zulfikri Zulkifli.

Manakala Siti Nur Azwani mengetepikan tiga lagi pencabar iaitu pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Nur Aisyah Mohamad Zubir (berbasikal) dan pelari Olimpik, Azreen Nabila Alias.

Pemillihan Nur Aiman atas kejayaannya memenangi pingat emas Sukan Sea di Hanoi, Vietnam tahun lalu, perak dan gangsa Kejohanan Kebangsaan Malaysia 2021 dan 2022, Jersi Merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 serta menyarung jersi pasukan TSG dengan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa.

Pemilihan Siti Nur Azwani berdasarkan pencapaian memenangi pingat emas Sukan Sea Hanoi, emas dan perak Sukan Universiti Asean 2022, emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, gangsa Sukan Tempur Universiti Dunia dan masing-masing dua gangsa Kejohanan Antarabangsa Terbuka Turki dan Finland musim lalu.

Kemenangan itu membolehkan masing-masing menerima wang tunai RM7,000 serta piala pusingan dan iringan, sepasang blazer serta sijil kepujian disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim serta Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

"Sejujurnya, saya tidak menduga mendapat anugerah terbesar ini apatah lagi empat lagi pencabar termasuk Khairul Anuar dan tiga lagi pencabar turut melakar pencapaian hebat.

"Bagaimanapun anugerah ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan, pihak pengurusan TSG, persatuan berbasikal negeri dan negara, MSNT dan mereka yang terbabit secara langsung atau tidak langsung, tidak lupa buat keluarga, tanpa mereka saya tidak mampu berdiri sehingga kini," kata Nur Aiman menerusi ucapan ringkas kerana dia kini berada di Sepanyol.

Nada sama turut diluahkan Siti Nur Azwani yang bagaikan tidak percaya diumumkan sebagai pemenang, namun dia tekad menjadikannya sebagai penyuntik semangat untuk terus memburu pelbagai gelaran lagi selepas ini.

"Saya bagaikan tidak percaya dipilih sebagai pemenang anugerah ini kerana tiga lagi calon tidak kurang hebatnya di pentas antarabangsa, tapi Alhamdulillah rezeki berpihak kepada saya hasil perjuangan dan titik peluh dalam sukan tempur ini.

"Kejayaan ini mampu menyuntik lagi semangat saya untuk terus memburu kejayaan pada masa akan datang dalam pelbagai kejohanan," kata penuntut tahun dua Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik menjadi milik atlet berbasikal negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan atlet olahraga, Nani Shaiera Zawawi manakala Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan menjadi milik atlet muay Thai, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan atlet kanu, Shahida Asyiqin Rusli.

Kategori Pasukan Lelaki dan Wanita Terbaik menjadi milik Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Pasukan Berbasikal Pursuit manakala Anugerah Kepimpinan Sukan menjadi milik Amir Amri Muhammad daripada sukan ragbi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:43 PM