KOK Leong (lima dari kiri) dan Keen Hoo bersama trofi yang dimenangi serta pegawai kejohanan.
KOK Leong (lima dari kiri) dan Keen Hoo bersama trofi yang dimenangi serta pegawai kejohanan.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemain snuker kebangsaan, Lim Kok Leong menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Snooker Terbuka Rinting FC 4 di Johor Bahru pada 14 hingga 16 Januari lalu.

Namun, ia bukan sesuatu yang mudah bagi bekas juara amatur dunia itu apabila diberikan tentangan sengit oleh Moh Keen Hoo yang juga pemain kebangsaan.

Pengurus kejohanan, M Shahrul Azuan Johari berkata, kejohanan itu pertama kali diadakan dan disertai 144 peserta dari dalam mahupun luar negara termasuk pemain profesional, semi pro dan amatur.

"Dua bekas pemenang pingat emas buat negara di Sukan Sea iaitu Kok Leong dan Keen Hoo turut bertanding.

"Malah, kami turut menjemput beberapa pemain semi pro dari China, Singapura dan Pakistan untuk menyerikan lagi kejohanan ini.

"Sambutan amat baik membuktikan sukan snuker ada peminatnya sendiri dan kami mahu mengadakan pertandingan ini dengan lebih kerap," katanya.

Menurutnya, kejohanan seperti itu bertujuan mengangkat martabat sukan snuker dan menangkis persepsi kurang baik kepada sukan berkenaan.

Pada masa sama, katanya, pihaknya mahu menaikkan imej snuker di Johor dengan menarik lebih ramai pemain terutama dalam kalangan golongan muda.

Selaku juara, Kok Leong membawa pulang wang tunai RM8,000 bersama trofi manakala Keen Hoo membawa pulang RM3,000 bersama trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 1:50 PM