FARHANA menunjukkan gambar kedua ibu bapanya berada di Makkah menunaikan haji. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
FARHANA menunjukkan gambar kedua ibu bapanya berada di Makkah menunaikan haji. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: "Ummi sempat kirimkan sehelai abaya dari Makkah untuk saya pakai pada Hari Raya Aidiladha nanti," kata Amiera Farhana Mahmad Zahir, 21.

Amiera adalah anak tunggal kepada Allahyarham Noormadiah Mat Ali, 53, jemaah wanita pertama yang meninggal dunia dalam musim haji ini.

Noormadiah yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ ekoran jangkitan kuman pada paru-paru pada 4 Jun lalu.

Katanya, dia tidak sempat menghantar ibu bapanya Mahmad Zahir Yahya, 61, ketika mereka berangkat menunaikan haji kerana menghadapi peperiksaan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Tun Hussein Onn, Johor.

"Kali terakhir saya jumpa ummi ketika pulang pada minggu ulang kaji awal Mei lalu selepas buat rayuan balik kampung kerana keluarga adakan majlis doa selamat untuk mereka.

"Sebelum balik ke kampus, arwah memujuk saya tidak terus bersedih (kerana) dia pergi sekejap saja dan akan sentiasa kira hari balik berjumpa saya," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Kubang Depu, di sini, semalam.

Amiera berkata, kedua orang tuanya berangkat menunaikan ibadat haji pada 8 Mei lalu dan dia hanya pulang ke kampung pada 15 Mei selepas selesai peperiksaan.

"Jika ikutkan ketika mereka pulang nanti pun, saya tidak sempat menyambut mereka pada 25 Jun kerana perlu balik ke kampus pada 21 Jun.

"Namun, kami sentiasa berhubung melalui panggilan telefon sebelum arwah dimasukkan ke hospital dan tidak sangka dia akan pergi dalam tempoh yang singkat," katanya.

Katanya, arwah ibunya yang juga amat disenangi rakan serta keluarga kerana perwatakannya yang sentiasa ceria serta peramah.

"Saya dapat berita pemergian arwah selepas dimaklumkan oleh ayah, pada peringkat awal sukar untuk terima kerana sangka dia akan kembali sembuh beberapa hari berada di hospital.

"Selepas ini hanya gambar kenangan, pesanan mesej serta hadiah pemberian terakhir ummi akan jadi pengubat rindu kerana arwah dikebumikan jauh dari sini," katanya.

Amiera berkata, dia berhasrat untuk menziarahi kubur arwah ibunya di Tanah Perkuburan Syaraiee, Makkah sekiranya memiliki kesempatan.

"Fokus saya sekarang mahu menghabiskan pengajian dalam bidang Bahasa Melayu ini serta memenuhi impian ummi menjadi seorang guru untuk menyambung minatnya mendidik pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2024 @ 10:42 AM